KOTA KINABALU, 9 Mac – Seramai 322 individu daripada lebih 2,000 orang yang layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di daerah Putatan menerima baucar BR1M bernilai RM134,150 mengikut kategori masing-masing hari ini.
Baucar berkenaan disampaikan kepada penerima oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Anggota Dewan Udangan Negeri (ADUN) kawasan Petagas Datuk Seri Yahya Hussin.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata BR1M berkenaan merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan beban rakyat ekoran peningkatan kos sara hidup berikutan ekonomi global yang tidak menentu.
“Hari ini saya menyampaikan bantuan kerajaan berupa BR1M kepada rakyat yang terdiri daripada semua kaum seperti kaum Cina, Kadazan, Bajau, Murut dan lain-lain. Ini menandakan kita tidak mengira bangsa, agama, kepercayaan atau fahaman politik,” katanya.

Yahya berharap bantuan BR1M itu akan dapat meringankan beban penerima dan menggunakan pemberian kerajaan berkenaan sebaik-baiknya.
Sementara itu, Yahya menafikan tohmahan pihak tertentu, khususnya parti pembangkang, yang menganggap BR1M sebagai satu rasuah.
Katanya BR1M adalah bantuan kerajaan kepada rakyat yang layak menerimanya dan rakyat juga amat berterima kasih kerana kerajaan mewujudkan bentuk bantuan seperti itu malah mengharapkan supaya jumlah bantuan ditambah lagi sekiranya kerajaan mempunyai kewangan yang lebih. – Bernama