33 ahli DUN kemukakan rayuan

KOTA KINABALU, 21 OGOS – Beberapa minit selepas Mahkamah Tinggi di sini membuat keputusan mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Tan Sri Musa Aman dan 32 lagi anggota DUN negeri itu telah mengemukakan rayuan.

Peguam Tengku Fuad Ahmad berkata, rayuan tersebut telah difailkan lima minit yang lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim menolak permohonan 33 ahli DUN untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan Yang Dipertua Negeri membubarkan DUN pada 30 Julai.

Tengku Fuad berkata, terdapat dua perkara dalam penghakiman hari ini oleh hakim mendapati terdapat satu ‘locus standi’ untuk membawa kes semakan kehakiman, dan hakim didapati membuat penemuan bahawa Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebenarnya telah hilang majoriti dan mempunyai dua pilihan, sama ada untuk meletakkan jawatan atau membubarkan DUN.

“Bagaimanapun kami tidak bersetuju dengan penggunaan ayat hakim – nasihat dan mohon, kami akan membawa ini ke mahkamah rayuan sebab kami tidak melihat mohon dan nasihat sebagai satu perkara yang sama.

“Saya ingin memaklumkan bahawa notis rayuan telah pun dihantarkan oleh pejabat saya lima minit yang lepas. Perjuangan ini diteruskan, kami masih belum berputus asa dan anak guam saya juga tidak berputus asa,” katanya kepada media di luar kamar Mahkamah Tinggi di sini. – Bernama