Saturday, January 18, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    33 buku terbitan UNISSA dilancarkan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 DIS – Sebanyak 33 buah buku terbitan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dalam pelbagai bidang hasil tulisan beberapa orang penulis dilancarkan hari ini dalam Majlis Pelancaran Buku-buku Terbitan Terbaharu UNISSA 2021 di Dewan Auditorium universiti berkenaan.

    Pelancaran buku-buku tersebut disempurnakan oleh Mufti Kerajaan, selaku tetamu kehormat majlis, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Daripada jumlah buku yang dilancarkan, tujuh buah buku adalah dalam Bahasa Melayu, tujuh buah dalam Bahasa Inggeris dan sembilan buah dalam Bahasa Arab. Di samping itu, turut dilancarkan enam buah jurnal dan dua kamus iaitu Kamus Ensiklopedia dan satu monograf al-Shafi’i.

    Dalam usaha pengantarabangsaan, UNISSA telah menjalin kerjasama dalam penerbitan bersama penerbit universiti luar negara iaitu IIUM Press, Malaysia.

    Pada pelancaran tahun ini, ia merupakan detik bersejarah kerana lima judul buku yang merupakan terbitan bersama IIUM Press iaitu tiga judul dalam Bahasa Inggeris, satu judul dalam Bahasa Melayu dan satu judul dalam Bahasa Arab telah diterbitkan.

    Yang Berhomat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz semasa melancarkan buku-buku terbitan UNISSA pada majlis yang diadakan kelmarin. – Gambar oleh Bahyiah Bakir

    Antara buku-buku yang menarik ialah Kitab Hadis Arbain Yasin Fadani: Karya Ulama Nusantara Di Tanah Suci, The Qur’an On Art, Architecture And Built Environment, Women Empowerment From Qur’anic Perspective, dan Mengurus Pekerja Toksidik Menurut Islam yang dihasilkan oleh penulis-penulis tempatan dan luar negara.

    Di majlis itu, Yang Berhormat Pehin juga menyampaikan Anugerah Staf Cemerlang Universiti Islam Sultan Sharif Ali bagi Tahun 2020.

    Bagi tahun 2020, seramai 23 staf telah dipilih daripada kalangan tenaga akademik, pegawai dan kakitangan UNISSA untuk menerima anugerah kecemerlangan dalam pelbagai kategori yang mana anugerah ini mula diadakan sejak tahun 2016. Antara lain tujuan utama penyampaian anugerah ini adalah bagi memberikan galakan dan semangat kepada tenaga akademik, pegawai dan kakitangan untuk lebih komited dan berdaya saing secara sihat dalam memantapkan dan meningkat lagi kualiti kerja dalam bidang masing-masing.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda