33 disaman atas pelbagai kesalahan trafik

KOTA KINABALU, 11 Feb – Polis Kota Kinabalu mengeluarkan 33 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam Op Mabuk dan Samseng Jalanan di dua lokasi di bandar raya itu pada Sabtu dan awal pagi Ahad.

Ketua Polis Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata sebanyak 125 kenderaan diperiksa dalam operasi selama lima jam bermula 1 pagi itu yang membabitkan 142 pengguna jalan raya.

“Polis turut menjalankan ujian saringan awal pernafasan menggunakan alat SDII terhadap 22 pemandu dan mendapati tujuh daripada mereka positif alkohol.

“Pemeriksaan lanjut menerusi ujian pernafasan kedua menggunakan alat EBA II mendapati empat daripada pemandu terbabit positif melebihi paras alkohol dibenarkan dalam darah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Habibi berkata pemandu yang berkenaan boleh disiasat menurut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000 hingga RM6,000 atau penjara sehingga 12 bulan jika sabit kesalahan.

Penguatkuasaan seumpama itu akan terus dijalankan bagi memastikan pemandu mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas sekali gus mencegah pengguna jalan raya memandu bawah pengaruh alkohol, katanya. – Bernama