ROM, 14 JULAI – Polis cukai Itali kelmarin berkata bahawa mereka telah membebaskan 33 pekerja ladang India daripada “keadaan kerja seperti hamba” di wilayah utara Verona, sambil merampas hampir setengah juta euro daripada dua yang didakwa sebagai ‘gangmaster’.
Polis berkata kedua-dua individu yang didakwa sebagai pendera itu, juga warga India, memujuk rakan-rakan senegara mereka untuk datang ke Itali, membayar 17,000 euro setiap seorang untuk mendapatkan permit kerja bermusim.
Lelaki-lelaki berkenaan kemudiannya diwajibkan bekerja di ladang selama tujuh hari seminggu dan sehingga 10-12 jam sehari, dibayar hanya 4 euro sejam, dengan syarat yang disifatkan oleh polis Itali sebagai ‘perhambaan’.
Beberapa pendatang juga diminta untuk terus bekerja secara percuma untuk membayar tambahan 13,000 euro untuk permit kerja tetap, yang pada hakikatnya tidak akan pernah mereka perolehi, tambah polis.
Kedua-dua pendera berkenaan sedang disiasat atas jenayah termasuk perhambaan dan eksploitasi buruh. Mangsa-mangsa akan ditawarkan perlindungan, peluang pekerjaan dan kertas pemastautin yang sah. – AP
