Friday, April 26, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    33 pelajar cemerlang dirai

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Seramai 33 orang pelajar telah menerima pengiktirafan kerana mencapai keputusan akademik cemerlang pada tahun 2021 pada majlis penyampaian Anugerah Merit Pelajar Ahli Dewan Perniagaan Cina Bandar Seri Begawan yang diadakan di Dewan Mahligai, Tingkat 3, Airport Mall, hari ini.

    Hadir menyaksikan majlis itu dan menyampaikan anugerah kepada para pelajar ialah ketua masyarakat Cina, Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka
    Goh King Chin, yang juga penasihat kehormat Dewan Perniagaan Cina Bandar Seri Begawan. Penasihat lain yang menyampaikan anugerah pelajar terbaik ialah Dato Tiong Ing Ping, Lau Shiew Yuen dan William Ngui.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Presiden Dewan Perniagaan Cina BSB, Malcolm Lim berkata, “Pandemik COVID-19 telah menjejaskan pembelajaran biasa di bilik darjah serta peperiksaan sejak dua tahun lalu. Sejak gelombang kedua, Dewan Perniagaan Cina BSB tidak menganjurkan sebarang aktiviti bagi mematuhi arahan Kementerian Kesihatan. Hari ini, kami dapat menganjurkan Anugerah Merit Pelajar 2021 untuk ahli Dewan Perniagaan Cina BSB.”

    Beliau menambah “Majlis Anugerah Merit Dewan Per-niagaan Cina BSB tahun ini menyaksikan 35 permohonan dan 33 pelajar berjaya memenuhi syarat tersebut. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pelajar yang menerima anugerah merit ini.”

    Tahun ini juga, Dewan Perniagaan Cina BSB akan meraikan ulang tahunnya yang ke-75, presiden Dewan Perniagaan Cina BSB mendedahkan bahawa beberapa siri aktiviti akan dianjurkan pada bulan September untuk meraikan peristiwa penting itu dan berharap ahli eksekutif termasuk majlis Usahawan Belia akan terus memberikan sokongan dalam penganjuran aktiviti berkenaan.

    Salah seorang penerima, Andrea Tiong Jia Yin semasa ditemu bual berkata, “Saya berbesar hati menerima anugerah ini dan saya berharap saya dapat terus cemerlang dan mencapai keputusan yang baik pada masa hadapan.”

    Mengenai rahsia kejayaannya, beliau mengongsikan, “Kunci kejayaan adalah mempunyai pengurusan masa dan jadual yang betul, belajar bersungguh-sungguh sambil membuat ulang kaji berterusan, bertanya kepada pensyarah atau menggunakan sumber dalam talian untuk mencari topik yang mungkin saya tidak fahami sepenuhnya. Kerja keras dan ketekunan pasti membuahkan hasil.”

    Sementara itu, Luke Lau menerima anugerah merit bagi pihak tiga orang anaknya iaitu Moses Lau, Joyce Lau dan Macelina Lau. Beliau berkata bahawa semua anaknya berada di Miri dan tidak dapat hadir ke majlis tersebut.

    Luke Lau juga mengongsikan, “Sebagai bapa tunggal, saya gembira dan bangga kerana anak-anak berjaya dalam pelajaran mereka. Mereka bekerja keras dan lulus dalam semua peperiksaan. Dua daripada mereka telah menamatkan kolej dan universiti manakala Moses Lau masih belajar di Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik manakala anak kelima kini di Tingkatan satu.”

    Salah seorang pelajar menerima anugerah daripada Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin pada majlis berkenaan.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...