Saturday, February 4, 2023
23.7 C
Brunei

-

33 tahun negara nikmati kemerdekaan

Oleh Haniq Raffael

 

ANTARA lain yang terkandung dalam titah pemasyhuran kemerdekaan negara pada tanggal 31 Disember 1983, jam 12.00 malam tatkala melangkah ke tarikh 1 Januari 1984 bersamaan 27 Rabiulawal 1404 Hijrah adalah seperti berikut,

“….Bahawasanya sekarang sudah tiba masanya bagi Negara Brunei Darussalam mengambil alih semula tanggungjawab antarabangsa dengan secara penuh sebagai sebuah negara yang berdaulat lagi merdeka di kalangan masyarakat antarabangsa.”

Ia merupakan suatu saat dan detik yang bersejarah bagi Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat jelata juga kepada penduduk di negara ini. Detik yang mana menjadi kenangan dan ristaan bagi rakyat dan penduduk Brunei Darussalam sejak zaman-berzaman dan turun-temurun hingga ke akhir hayat yang tidak akan luput dan tidak akan pupus ditelan zaman.

Pada malam tersebut juga merupakan detik, hari dan masa serta waktu yang membuatkan semua berasa bangga berikutan dengan pencapaian negara yang kecil ini dengan keramaian penduduk yang ketika itu 200,000 orang telah berjaya menempatkan dirinya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara dunia antarabangsa.

Tidak terasa masa berlalu

Peristiwa tengah malam tersebut ternyata sudah 33 tahun berlalu yang bererti sudah 33 tahun juga usia kemerdekaan negara kita, mungkin dalam usia yang begitu matang tidak terasa kepada kita kerana kesederhanaan kita dalam menyambutnya pada setiap tahun.

Kenangan dan ristaan yang begitu bernilai sempena Hari Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam pada 1 Januari 1984 ketika Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien III melafazkan kalimah Allahu Akhbar.
Kenangan dan ristaan yang begitu bernilai sempena Hari Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam pada 1 Januari 1984 ketika Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien III melafazkan kalimah Allahu Akhbar.

Apa yang uniknya tentang sambutan hari kemerdekaan negara kita pada malam 31 Disember 1983 tersebut yang turut disaksikan oleh mata luar adalah cara sambutan yang kita adakan dalam suasana senyap dan tenang dan apa yang istimewa ia disambut dengan penuh keugamaan, kesyukuran dan laungan “Allahu Akhbar” yang dikepalai Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien III.

Selepas mencapai kemerdekaan

Sejak negara kita mencapai kemerdekaan pelbagai perkembangan telah dicapai dan dinikmati, dan perkembangan ini bukan sahaja terbatas kepada perkembangan perhubungan dan penyertaan Negara Brunei Darussalam di peringkat dunia antarabangsa malah ia juga diikuti dengan beberapa perubahan pembangunan kenegaraan yang sama coraknya dengan jarak usia merdeka.

Dalam masa yang sama, semua lapisan rakyat dan masyarakat negara ini didedahkan bahkan turut merasakan kepelbagaian perubahan yang berlaku, dan jangka waktu 33 tahun pencapaian kemerdekaan itu, kita sebagai rakyat juga perlu mengisikan erti kemerdekaan agar negara ini menjadi sebuah negara yang kukuh terutama dari segi sosio-ekonomi dan politiknya.

Sebagai rakyat yang mengaku sebenarnya taat setia kepada Negara Brunei Darussalam, kewajipan kita terhadap negara seharusnya berterusan apatah lagi setelah kita menjadi rakyat yang merdeka, yang penting kita hendaklah meneruskan dan melengkapkan diri dalam kehidupan merdeka serta mengisikan erti sebenarnya kemerdekaan tersebut.

Sejak Negara Brunei Darussalam berjaya mencapai kemerdekaannya pada 1 Januari, 1984, proses pembangunan negara telah berjalan dengan lebih lancar, bahkan pemerhati-pemerhati luar yang mengenali negara ini juga turut menyuarakan rasa kagum mereka terhadap perkembangan negara secara meluas selepas negara ini mencapai kemerdekaannya apatah lagi bila menyaksikan rakyat dan penduduk di negara ini dapat menikmati taraf hidup yang tinggi dan kualiti kehidupan yang sebanding denan negara-negara maju di dunia.

Kita seharusnya merasa bersyukur, sekalipun kita kini berada di tengah-tengah pergolakan dunia yang mencabar dan senario politik dunia yang tidak menentu, namun bumi Darussalam terus gah di persada global antarabangsa dengan berpegang teguh kepada konsep Melayu Islam Beraja (MIB).

Pencapaian negara

Dalam tempoh beberapa dekad berlalu, Negara Brunei Darussalam telah mencapai beberapa kejayaan cemerlang yang terus membawa negara ke mercu kegemilangan yang membanggakan. Senario landskap politik yang terus stabil dan mantap, ekonomi yang kukuh serta corak kepimpinan yang cemerlang berlandaskan MIB yang membolehkan bangsa kita setara dan sehebat dengan masyarakat antarabangsa.

Negara kita sejak tahun 1984 hingga kini terus gagah berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara dan bangsa-bangsa di dunia antarabangsa.

Begitu juga halnya dengan kemantapan ekonomi yang bersumberkan a emas hitam iaitu minyak dan gas, negara kita kini muncul sebagai negara membangun yang cukup hebat dengan landskap pertumbuhan pembangunan yang cukup pesat.

Daripada sumber kekayaan yang diagihkan secara adil dan saksama, seluruh rakyat jelata terus sahaja menikmati pendidikan dan kesihatan yang percuma, kualiti kehidupan yang tinggi, taraf sosioekonomi dan sosial yang mapan bahkan keseluruhan kemudahan, kesenangan dan keistimewaan yang diberikan dapat dinikmati dengan saksamanya.

Kesemua ini juga berkat adanya pemimpin kita yang disayangi dan begitu prihatin kepada negara, rakyat dan penduduknya iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang  Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-29, yang banyak memainkan peranan begitu signifikan dengan meletakkan bumi Darussalam muncul di tengah-tengah dunia antarabangsa sebagai sebuah negara merdeka dan demokratik.

Jambatan Sungai Kebun antara salah satu kemudahan yang bakal dinikmati oleh rakyat dan penduduk negara ini dalam masa terdekat.
Jambatan Sungai Kebun antara salah satu kemudahan yang bakal dinikmati oleh rakyat dan penduduk negara ini dalam masa terdekat.

Sebagai satu bangsa yang shidup dalam perpaduan, kita tidak pernah luput daripada pegangan serta sifat-sifat mulia. Dengan cara hidup keBruneian yang berunsurkan corak Melayu, Islam dan Beraja adalah sentiasa menjadi asas dan landasan bagi kita untuk menikmati kehidupan yang penuh berkebajikan. Maka dorongan-dorongan untuk kita kekal bersatu padu dan meningkatkan mutu perpaduan adalah sangat jelas.

Menjayakan Wawasan Negara

Tahun ini genap 33 tahun Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam. Angka 33 adalah satu angka yang boleh dianggap matang dalam segenap segi dan ini juga selaras dengan tema sambutan tahun ini “Menjayakan Wawasan Negara”.

Sebagai rakyat dan penduduk yang sudah menikmati kemerdekaan selama 33 tahun setentunya sudah mempunyai usia yang cukup matang untuk membuahkan fikiran yang bernas dan munasabah dalam melakukan pelbagai usaha ke arah menjayakan wawasan negara dan terus berazam untuk sama-sama memajukan infrastruktur serta ekonomi negara sekali gus rela berkorban demi mengekalkan kesejahteraan dan kemakmuran yang telah dikecapi.

Banyak perkara yang mampu kita lakukan demi merealisasikan wawasan yang diimpikan antaranya adalah dengan sama-sama berganding bahu untuk membantu kerajaan dalam melaksanakan usaha-usaha alternatif.

Memang tidak dapat dinafikan, peranan dan tanggungjawab sebagai rakyat adalah sesuatu yang begitu berat dan tidak mudah dipikul, namun kita harus ingat matlamat kita untuk menjadi rakyat Negara Brunei Darussalam adalah untuk menyumbang kepada bangsa, agama dan negara.

Rakyat yang berdedikasi perlu ada sikap tanggungjawab, keikhlasan, kejujuran dan pengorbanan dalam melaksanakan tugas demi pembangunan negara dan merealisasikan tujuan dalam menjayakan wawasan yang negara harapkan.

Justeru, kita seharusnya mempunyai rakyat yang profesional dan berkualiti iaitu berpendidikan tinggi yang mampu untuk menjadikan negara sebagai negara yang maju.

Oleh itu kita selaku rakyat, lebih-lebih lagi generasi muda kita yang merdeka perlu bersedia dan secara berterusan meningkatkan ilmu pengetahuan dari apa jua aspek. Kita perlu siap dan bersedia untuk menghadapi cabaran dan yang lebih penting lagi adalah perlu bersedia untuk memahami tanggungjawab dan peranan kita dalam bernegara, bermasyarakat dan berbangsa.

Ini adalah sebahagian daripada ciri-ciri yang mesti kita miliki untuk digembleng bagi mewujudkan wawasan yang kita harapkan. Jika ini wujud kita setentunya tidak akan merasa kerumitan untuk menanai tema Hari Kebangsaan tahun ini, ‘Menjayakan Wawasan Negara’.

Artikel sebelum iniPerutusan tahniah
Artikel seterusnyaPorsche AG jalin usaha sama dengan UMT
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Bekas Menteri dijatuhi hukuman penjara 2 tahun

SEOUL, KOREA SELATAN, 3 FEB - Mahkamah Korea Selatan hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kepada bekas Menteri Kehakiman, Cho Kuk, selepas dia...
- Advertisment -