Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    3,333 kes sembuh dicatatkan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Lapan kes yang telah di-sahkan positif COVID pada masa ini berada di dalam kategori 5 iaitu memerlukan bantuan mesin pernafasan dan sedang dirawat di unit rawatan intensif.

    Sementara itu, 11 kes berada di dalam kategori 4 iaitu memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

    Menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar, jumlah kes dalam kategori 4 dan 5 pada ketika ini ialah 7.3 peratus daripada keupayaan rawatan kategori 4 dan 5 di Pusat Pengasingan Kebangsaan.

    Beliau mengongsikannya semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada hari ini, bertempat di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

    Turut hadir di sidang media tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    “Sebanyak 3,849 kes baharu telah dilaporkan pada hari ini yang membawa kepada jumlah keseluruhan sebanyak 104,022 orang,” kata Yang Berhormat Dato.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjelaskan bahawa daripada jumlah kes baharu itu, 3,172 adalah hasil ujian ART yang telah dimuatnaikkan ke aplikasi BruHealth manakala 677 adalah dari hasil 4,100 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu.

    “Sementara itu, 3,333 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 64,081 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 39,785 kes,” jelas beliau lagi.

    Yang Berhormat Dato kemudiannya mengongsikan bahawa pada masa ini, kadar pengisian katil di pusat-pusat pengasingan di seluruh negara atau bed occupancy rate ialah sebanyak 8.5 peratus.

    “Dalam pada itu, 287 kes aktif sedang menerima rawatan di pusat-pusat pengasingan dan hospital-hospital, manakala seramai 39,498 kes positif kini sedang menjalani pengasingan diri di rumah,” katanya lagi.

    Mengenai pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan setakat kelmarin, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengongsikan bahawa bagi mereka yang menerima tiga dos vaksin ialah 57.5 peratus dari keseluruhan penduduk di negara ini manakala kadar satu dos dan dua dos adalah masing-masing melebihi 94 peratus.

    Manakala bagi sekatan pergerakan yang dijalankan dari jam 12 malam semalam hingga jam 4 pagi tadi, menurut beliau, tidak ada pelanggaran arahan telah dikeluarkan denda kompaun di seluruh negara.

    Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato menyeru kepada orang ramai untuk memohon ke hadrat Allah SWT. semoga Negera Brunei Darussalam sentiasa dipelihara dan dilindungi daripada segala mara bahaya, semoga semua rakyat dan penduduknya diberikan kesihatan, dipermudahkan segala urusan dan dijauhkan daripada segala penyakit khususnya penyakit COVID.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...