Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Seramai 34 orang ahli Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) hari ini berlepas ke Malaysia bagi menyertai Konvensyen Majlis Guru-guru ASEAN+1 (ACT+1) ke-37 yang akan diadakan di Putrajaya bermula esok hingga 17 September.
Tahun ini, konvensyen dihoskan Malaysia dan dianjurkan oleh National Union of Teaching Profession (NUTP) di mana rombongan PGGMB diketuai oleh Haji Awang Abdul Alim bin Haji Awang Othman.
Tema utama akan membincangkan tajuk Leading The Future of Education yang akan mengetengahkan topik-topik ke arah mempercepatkan peneraju transformasi digital dalam bidang pendidikan.
Semasa konvensyen itu, dua peserta PGGMB akan membentangkan Laporan Negara dalam sesi perbincangan panel dan sesi pembentangan kertas kerja selari. Kedua-dua kertas kerja berkenaan memfokuskan kepada usaha-usaha transformasi digital untuk memacu kemajuan dalam pendidikan termasuk meningkatkan kemudahan untuk pengajaran digital di sekolah- sekolah.
Persidangan akan menyaksikan penandatanganan resolusi bersama yang dipersetujui oleh ketua-ketua delegasi dari lapan buah negara anggota.
Persidangan ACT+1 ke-37 dijangka menggalakkan lagi pendigitalan pendidikan dalam kalangan negara-negara anggota yang terdiri daripada Brunei Darussalam, Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam, Filipina dan Korea.
Lebih 600 orang peserta dijangka akan menyertai konvensyen berkenaan yang mewakili persatuan-persatuan guru dari negara-negara ahli.
