34 dikhuatiri maut hujan lebat di Jepun

TOKYO, 5 JULAI – Kira-kira 34 orang sama ada disahkan mati atau dikhuatiri mati – termasuk 14 di sebuah rumah jagaan – selepas hujan lebat melanda Jepun, menyebabkan banjir besar dan tanah runtuh, menurut pihak berkuasa hari ini.

Penyelamat mencari 14 orang hilang selepas banjir melanda kawasan Kumamoto di pulau barat daya Kyushu, memusnahkan rumah, meng-hanyutkan kenderaan dan mengakibatkan jambatan runtuh.

Kerajaan wilayah mengesahkan 18 orang maut, manakala 16 yang lain masih dalam keadaan ‘jantung terhenti’ – satu terma yang sering digunakan di Jepun sebelum seorang doktor secara rasminya mengesahkan kematian. Empat belas daripada mangsa maut ketika rumah penjagaan dibanjiri air apabila sebuah sungai tempatan melimpahi tebingnya. Perkhidmatan kecemasan menyelamatkan seramai 50 orang dari kemudahan itu.

Lebih daripada 200,000 orang digesa untuk berpindah dengan pihak berkuasa mengingatkan mereka yang berada di pusat perlindungan sementara kecemasan untuk sering membasuh tangan mereka, memakai penutup mulut dan hidung serta mengekalkan jarak sosial bagi mengelak penularan koronavirus. “Kami akan berusaha sedaya upaya bagi mengelak penularan jangkitan dan memastikan mereka yang dipindahkan dari rumah mereka selesa,” kata Menteri Pengurusan Bencana, Ryota Takeda memberitahu wartawan selepas melawat sebuah gim di bandar Hitoyoshi di mana 600 penduduk berlindung. – AFP

Penduduk dipindahkan dari kawasan banjir menggunakan bot getah di kampung Kuma, wilayah Kumamoto, 5 Julai. Seramai 34 hilang dan dikhuatiri maut ketika
penyelamat bertungkus-lumus
mencari mangsa. –AFP