34 kes baharu dicatat di Singapura

SINGAPURA, 15 SEPT – Singapura mengesahkan terdapat 34 kes baharu COVID-19  dalam tempoh 24 jam lepas dengan sifar kes dalam komuniti untuk dua hari berturut-turut.

Dalam data ringkas yang dikelu-arkan di sini hari ini, Kementerian Kesihatan republik itu (MOH) berkata sebanyak enam kes import dikesan dan kesemua mereka diberikan Notis Duduk di Rumah sebaik sahaja tiba di Singapura.

Data mengenai baki kes masih belum diperoleh.

Kes terbaharu ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan COVID-19 di republik itu mencecah 57,488.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan semalam, kementerian itu mengklasifikasikan 996 kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,238 kes komuniti dan 54,220 melibatkan penghuni asrama.

MOH berkata sejumlah 56,802 kes sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan didiscaj daripada hospital atau kemudahan penjagaan komuniti.

Setakat 12 tengah hari semalam, 53 kes masih lagi berada di hospital tetapi tiada yang ditempatkan di unit rawatan rapi.

Sementara itu, 572 pesakit yang bergejala ringan atau secara klinikal didapati sihat tetapi masih positif dalam saringan COVID-19 telah diasingkan dan dijaga di kemudahan penjagaan komuniti.

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19 di republik ini.

Dua kluster baharu dikenal pasti semalam di Jurong Penjuru Dormitory 1, 58 Penjuru Place dan Jurong Penjuru Dormitory 2, 36 Penjuru Place. – Bernama