34 pain darah berjaya dikumpulkan

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 23 JUN – Susulan kejayaan kempen-kempen derma darah yang diadakan di Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Tutong, Sukarelawan Belia telah meneruskannya lagi di Daerah Belait selama dua hari bermula hari ini.

Dikendalikan dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Kementerian Kesihatan dan sokongan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, kempen bagi daerah ini diadakan di Pusat Belia, Jalan Bunga Rambai, Kuala Belait.

Sepanjang hari ini, seramai 34 orang telah menderma satu pain darah setiap seorang dan akan diteruskan lagi esok dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Turut hadir pada hari pertama kempen berkenaan ialah Ketua Pusat Operasi Sukarelawan Belia, Hajah Noor Monasaliena @ Suzie binti Haji Mohd Salleh.

Kempen bertujuan untuk membantu menambah bekalan darah yang diperlukan bagi tabung darah yang pada masa ini dalam keadaan kekurangan semenjak pandemik COVID-19 melanda.

Pendermaan darah berkenaan dibukakan kepada belia-belia yang berumur 18 tahun ke atas serta daripada sektor awam dan swasta dengan sasaran 50 hingga 60 penderma sehari, mengikut waktu-waktu yang telah ditetapkan bagi mengelakkan perkumpulan ramai.

Kempen dijalankan dengan meng-amalkan penjarakan sosial dan fizikal serta mematuhi prosedur operasi standard atau garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan.

Sebelum ini, kempen serupa juga telah diadakan di Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Tutong dengan kempen di Daerah Tutong telah menarik lebih 90 orang penderma darah sepanjang dua hari kempen berkenaan.

ATAS & BAWAH: Seramai 34 orang telah menyertai kempen menderma darah kendalian Pusat Pendermaan Darah Hospital RIPAS , Kementerian Kesihatan dan Sukarelawan Belia dengan sokongan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, kelmarin.