34 pelajar cemerlang terima biasiswa Petronas

KOTA KINABALU, 29 Jun— Seramai 34 pelajar cemerlang Sabah menerima biasiswa daripada syarikat petroleum negara, Petronas, menerusi Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) tahun ini.

Mereka adalah sebahagian daripada 300 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 yang menerima biasiswa PESP itu.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob, yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menyampaikan biasiswa itu kepada pelajar berkenaan pada majlis penyampaian PESP di sini, hari ini.

Mohd Shafie, dalam teks ucapannya yang dibacakan Yusof, berkata kerajaan negeri menyokong penuh usaha Petronas menyemarakkan bidang pendidikan menerusi PESP yang membolehkan pelajar cemerlang Sabah melanjutkan pengajian tinggi di universiti tempatan dan antarabangsa.

“Ia membabitkan kos pengajian serta sara hidup tinggi. PESP menyediakan sumber bagi membolehkan para pelajar mendapatkan pendidikan terbaik dengan mereka akhirnya membawa pulang ilmu yang dipelajari dan diterapkan dalam bidang profesional seterusnya membawa manfaat kepada kita semua,” katanya. – Bernama