35 ahli MPK terima sijil lantikan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Seramai 35 orang ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor Mengkubau bagi sesi 2019-2023 telah menerima sijil lantikan masing-masing pada majlis yang berlangsung di Dewan Sekolah Rendah Dato Mohd Yassin, Kampung Mentiri, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil kepada ahli-ahli MPK berkenaan ialah Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.

Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohammad bin Pengiran Haji Osman @Othman yang juga pemangku penghulu Mukim Mentiri dan beberapa orang pegawai dari Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

Pembentukan MPK bagi sesi 2019-2023 berkenaan menampilkan beberapa orang baharu dalam kalangan belia di samping mengekalkan beberapa orang ahli lama.

Sejak ditubuhkan pada 2016, MPK berkenaan bergiat aktif dalam mengungkayahkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan projek amal, keagamaan dan sukan.

Dengan pelantikan ahli-ahli jawatankuasa tertinggi dan biro yang baharu berkenaan akan dapat meneruskan dan  mempertingkatkan semangat dalam memeduli kesejahteraan masyarakat dan penduduk kampung serta memajukan RPN Kampung Panchor
Mengkubau.

Gambar ramai ahli-ahli MPK RPN Kampung Panchor Mengkubau bagi sesi 2019-2023 bersama tetamu kehormat.