35 anak yatim terima sumbangan persiapan Hari Raya

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Seramai 35 orang anak yatim yang berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah menerima sumbangan pada majlis penyampaian sumbangan anjuran Jawatankuasa Takmir Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit bersempena Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penyampaian sumbangan secara pandu lalu kepada seramai 20 orang anak yatim dari Kampung Manggis Satu dan Dua serta 15 orang dari Kampung Madang, Mukim Berakas B itu ialah Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon yang turut mengagihkan sumbangan.

Turut memberikan sumbangan berupa makanan pada majlis itu ialah Kedai Jam Brunei.

Majlis berkenaan merupakan kegiatan tahunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama jawatankuasa masjid bagi sama-sama memeduli anak-anak yatim dan menggalakkan serta memberikan kesedaran kepada mereka untuk memperbanyakkan amalan pada bulan Ramadan.

Yang Berhormat Pengiran Haji Ali menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim.