Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Seramai 35 orang pemenang bertuah sempena cabutan bulanan pertama bagi kempen Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) Aspirasi 3 diraikan pada semasa majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Dewan Jongsarat Bangunan PGGMB, hari ini.
Majlis tersebut menyaksikan seramai 35 orang pemenang bulanan menerima wang tunai $1,000 setiap seorang. Penyampaian hadiah berjumlah $35,000 kesuluruhannya kepada pemenang telah disampaikan oleh Ketua Jualan di Kumpulan Perbankan Runcit BIBD, Dayang Rohani binti Haji Salleh.
Program ganjaran tersebut yang mula diperkenalkan sejak dua tahun lalu juga akan mendorong pelanggan untuk menabung dana mereka dan digandakan jumlah penyertaan bagi mereka yang menyimpan untuk jangka masa yang lebih lama.
BIBD Aspirasi 3 akan memberikan peluang terbaik bagi orang ramai untuk meningkatkan lagi penyimpanan dan budaya menabung di negara ini kepada orang ramai. Selain cabutan bulanan yang menawarkan hadiah berjumlah $1,000 setiap seorang bagi 35 pemenang, cabutan suku tahun dan cabutan utama turut dijalankan seperti yang diadakan pada tahun sebelumnya.
Apa yang menarik pada Aspirasi 3 ini ialah minimum deposit penyimpanan telah direndahkan bagi memberikan peluang kepada lebih ramai orang untuk menyimpan di BIBD Aspirasi berbanding sebelumnya.
