Wednesday, November 13, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    350 belia berdialog bersama Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Lebih 350 orang belia telah menghadiri sesi dialog Youth Town Hall edisi ke-7 anjuran bersama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Rangkaian Profesional Muda (YPN) dengan sokongan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh YPN, Youth Town Hall adalah platform yang ditubuhkan pada 2020 bersempena dengan Hari Belia Kebangsaan untuk memupuk pemikiran penyelesaian, pemikiran ke hadapan dan komuniti belia berjiwa kolaboratif untuk menyumbang kepada pembangunan negara dengan menyediakan peluang kepada golongan belia untuk berinteraksi dengan menteri-menteri dan pegawai-pegawai kanan.

    Pada tahun ini, acara berkenaan membawa tema ‘Mentransformasikan Brunei menerusi Teknologi: Mempercepatkan Pertumbuhan, Merapatkan Jurang’ dengan menyaksikan sesi dialog bersama Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha yang dikendalikan oleh Penolong Ketua Pegawai (Belia), Jabatan Belia dan Sukan, KKBS, Dr Muhammad Nuriskandar bin Mohd Hasnan.

    Sesi dialog dimulai dengan menumpukan perbincangan mengenai keutamaan strategik MTIC di mana Yang Berhormat Pengiran Dato berkongsi enam objektif strategik utama dalam Pelan Strategik MTIC 2025, antaranya keutamaan termasuk memacu transformasi digital, memastikan kelestarian pengangkutan dan sektor infokomunikasi dan transformasi organisasi.

    Beberapa pertanyaan dan pandangan diterima daripada para peserta termasuk mengenai keselamatan siber, pembangunan modal insan dan kemajuan pelaksanaan Pelan Induk Ekonomi Digital 2025.

    Dalam pada itu, Ketua Projek Youth Town Hall dan Pasukan Teras, YPN BN, Awang Mohammad Ashmeer Imtiaz Ahmad turut berkongsi bahawa mereka menjangkakan
    sesi dialog pada kali ini mencapai perbincangan dua hala yang berkualiti antara para penceramah dan golongan peserta.

    “Alhamdulillah, perbincangan kami sangat baik. Yang Berhormat Pengiran Dato merangkumi pelbagai topik daripada Pelan Strategik MTIC kepada inklusif pertumbuhan masyarakat yang berbeza seperti golongan warga emas dan orang berkeperluan khas.

    “Ia juga merangkumi bagaimana pendigitalan tidak hanya terhad kepada hanya mengubah prosedur kerja manual biasa untuk didigitalkan dengan proses kerja yang sama, tetapi sebaliknya transformasi harus membenarkan kedua-dua organisasi serta pengguna akhir kurang beban kerja berbanding dengan cara pendekatan tradisional,” ujarnya.

    Youth Town Hall kali ini menampilkan Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. – Gambar serahan YPN
    Peserta berpeluang mengemukakan soalan semasa sesi dialog berkenaan. – Gambar serahan YPN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda