350 guni beras dihantar tambah stok bekalan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Kementerian Pembangunan, kelmarin, telah diberikan tugasan pengangkutan untuk pengambilan dan penghantaran sebanyak 350 guni beras di Muara Port Container ke Kompleks Sukan Sungai Kebun (KSSK) Daerah Brunei dan Muara, menggunakan kontraktor kementerian yang berdaftar.

Ia bertujuan untuk menambah stok bekalan di pusat pengagihan makanan KSSK dan selanjutnya akan diberikan kepada pesakit-pesakit COVID-19 yang diarahkan untuk menjalani perintah kuarantin di kediaman sendiri.

Pengangkutan berkenaan adalah salah satu tugasan yang diselaraskan di bawah Pusat Penyelarasan Kebangsaan bagi COVID-19 (N3C19) yang berpusat di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), ditubuhkan bagi menjaga kebajikan penduduk di negara ini yang terjejas oleh wabak COVID-19.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan, pusat penyelarasan berkenaan merupakan usaha bersama daripada semua pihak untuk menangani pandemik COVID-19 di peringkat nasional, yang mana ia terdiri daripada para pegawai dan kakitangan kerajaan daripada 13 buah kementerian serta disokong oleh sektor-sektor swasta.

Antara tugas-tugas utama N3C19 ini adalah sebagai sebuah pusat penyelarasan logistik untuk para pesakit COVID-19 yang berada di Pusat Pengasingan Kebangsaan (NIC) dan di pusat-pusat pengasingan di tempat lain, penyelarasan pengagihan makanan kepada orang ramai yang dalam Perintah Kuarantin, dan penyelarasan bagi pakej sumbangan kepada pusat pengedaran makanan.

Petugas memuat naik beras-beras yang hendak dihantar ke atas trak milik kontraktor berdaftar di bawah Kementerian Pembangunan. – Gambar serahan JKR

Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya serta badan-badan bukan kerajaan (pihak kontraktor yang berdaftar di kementerian ini) juga telah terlibat sama di N3C19.

Menurut kenyataan, 20 buah pihak kontraktor telah menyumbangkan tenaga kerja dan asetnya dalam sama-sama membendung wabak ini.

Sejak tercetusnya gelombang kedua wabak COVID-19 di negara ini pada Ogos lalu, lebih 200 tugasan penghantaran atau pengangkutan telah diarahkan oleh N3C19 kepada pihak-pihak yang diberi tugasan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 80 tugasan telah dibuat oleh pihak-pihak kontraktor kementerian ini.

Penghantaran barang-barang yang dibuat oleh pihak kontraktor adalah merangkumi makanan asasi seperti beras, gula, makanan kering, barang-barang keperluan mandian, barang-barang keperluan dapur dan barang-barang keperluan bilik tidur.

Kenyataan menekankan, Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya serta badan-badan bukan kerajaan (pihak kontraktor) akan sentiasa bekerjasama dalam sama-sama menyahut cabaran ini dalam usaha membantu pihak Kerajaan membendung wabak COVID-19.