350 orang kini dibenarkan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pengurangan langkah-langkah penjarakan sosial bagi aktiviti Pusat Kegiatan Warga Emas adalah ditingkatkan kepada tahap keempat dan kapasiti perkumpulan ramai dinaikkan kepada 350 orang bermula 7 September ini.

Sementara langkah-langkah penjarakan sosial bagi aktiviti-aktiviti lain adalah tidak berubah jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau menyatakan Kementerian Kesihatan menghendaki orang ramai untuk mematuhi segala peraturan dan arahan yang berkaitan dengan pengurangan langkah-langkah penjarakan sosial yang telah dikeluarkan dan masih berkuat kuasa pada masa ini, di mana garis panduannya boleh diperoleh di laman sesawang Kementerian Kesihatan.

Dengan itu, orang ramai adalah dikehendaki untuk menggunakan aplikasi BruHealth dan mengimbas kod QR setiap kali masuk dan keluar dari premis-premis terutama sekali di tempat-tempat awam seperti gedung-gedung perniagaan, kedai-kedai runcit, restoran-restoran, pusat-pusat kecantikan dan kedai gunting.

Dalam pada itu, bermula 7 September juga, pengurus-pengurus premis perniagaan adalah dimestikan untuk memaparkan kod QR di tempat-tempat masuk masing-masing. Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil serius penggunaan aplikasi BruHealth terutama dalam mengimbas kod QR berkenaan kerana ia adalah penting dalam membantu Kementerian Kesihatan melaksanakan pengesanan kontak dengan segera, jika berlaku sebarang penularan jangkitan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika berucap pada sidang media berkenaan.

Sejak tindakan undang-undang mula dikuatkuasakan bagi arahan-arahan yang telah dikeluarkan semasa pandemik COVID-19 pada Jun 2020 yang lalu hingga sekarang, sebanyak 636 buah premis perniagaan telah diperiksa di seluruh negara di mana 517 kesalahan telah didapati dan dikenakan denda kompaun.

Di antara kesalahan-kesalahan yang sering dilakukan ialah pengendali makanan tidak memakai penutup mulut dan hidung semasa bekerja dan premis tidak melakukan pemeriksaan suhu badan terhadap pelanggan atau pengunjung.

Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi wabak di dalam negara dan di peringkat serantau dan global serta melaksanakan penilaian risiko secara berterusan bagi mempertimbangkan pengurangan langkah-langkah seterusnya.

Jika situasi wabak kembali membimbangkan, Kementerian Kesihatan tidak akan teragak-agak untuk memperketatkan semula langkah-langkah penjarakan sosial yang perlu dilaksanakan untuk mengawal wabak tersebut.

“Kementerian Kesihatan akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai sebarang perubahan mengenai situasi ini, jika perlu dari semasa ke semasa,” tambah Yang Berhormat Dato.