353 kebakaran dicatatkan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Sepanjang 2017, terdapat sebanyak 353 insiden kebakaran bangunan dan rumah telah berlaku dengan taksiran kerugian bernilai $7.35 juta dan nilai harta yang berjaya diselamatkan adalah bermula $3.3 juta.

Jabatan Bomba dan Penyelamat juga telah menangani sebanyak 4,473 insiden kecemasan yang merangkumi insiden kemalangan jalan raya, mencari dan menyelamat mangsa sesat, lemas, panggilan bencana (tanah susur, atap terbang) dan panggilan kecemasan lain.

“Kita menghargai kewibawaan Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam menghadapi berbagai jenis kejadian-kejadian ini,” jelas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong ketika berucap di Upacara Perbarisan sempena Sambutan Ulang Tahun Jabatan Bomba dan Penyelamat ke-58, hari ini.

Sementara pada 2018 sehingga Mac, sebanyak 22 panggilan kebakaran rumah dan bangunan telah dicatatkan di mana daripada jumlah berkenaan, sebanyak 18 panggilan ialah kebakaran rumah dan empat panggilan ialah kebakaran bangunan yang melibatkan kerugian harta benda sebanyak $712,160.

Mengikut statistik panggilan tiga bulan pertama, ia menunjukkan penurunan kejadian kebakaran rumah, jelas Yang Berhormat Pehin lagi dalam majlis yang berlangsung di Padang Kawad, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat, Berakas.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar semasa berucap pada majlis berkenaan.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar memeriksa perbarisan semasa Upacara Perbarisan sempena Sambutan Ulang Tahun Jabatan Bomba dan Penyelamat ke-58, kelmarin.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk sentiasa meneruskan kerjasama dengan agensi-agensi yang berkepentingan untuk menjalankan tugas mereka dengan efisien dan proaktif.

“Ini adalah juga selaras dengan sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Pengerusi Majlis Bencana Kebangsaan yang menekankan bahawa pengurusan bencana adalah bersifat cross cutting yang merentas pelbagai jurisdiction dan peranan agensi-agensi yang berkepentingan.”

Yang Berhormat Pehin turut menyatakan bahawa usaha untuk mengurangkan kejadian kebakaran memerlukan usaha dalam pelbagai komponen. Sejajar dengan peranan kerajaan dengan memudah cara memulakan perniagaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat telah mengambil langkah untuk meneliti semula prosedur-prosedur yang ada bagi memastikan ia tidak menjadi penghalang kepada inisiatif Memudah Cara Memulakan Perniagaan.

Yang Berhormat Pehin menjelaskan salah satu inisiatif yang sedang diteliti oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat ialah Outsourcing Fire Inspection dengan menggunakan kaedah Public Private Partnership.

Dalam ucapannya lagi, Yang Berhormat Pehin berkata dengan bertambahnya kejadian kebakaran rumah dan premis perniagaan serta insiden kecemasan dari setahun ke setahun, adalah amat mustahak supaya segenap lapisan masyarakat berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk sentiasa mengambil langkah pencegahan untuk melahirkan masyarakat yang berdaya tahan yang mengamalkan budaya bersiap siaga.

Yang Berhormat Pehin juga mengambil maklum bahawa terdapat kejadian kebakaran di beberapa buah tempat penginapan pekerja dan sehubungan dengan itu, menekankan, adalah penting bagi pihak majikan sama-sama bertanggungjawab bagi memastikan rumah-rumah penginapan pekerja dalam keadaan baik dan selamat untuk didiami.

Pada masa yang sama, beliau menghargai inisiatif Jabatan Bomba dan Penyelamat yang telah melaksanakan program awam di mana pada 2017, seramai 18,012 orang telah menyertai Program Pembelajaran dan Kesedaran Awam termasuk taklimat, lawatan, kursus marsyal bomba dan latihan kecemasan kebakaran di keempat-empat daerah.

Beliau berkata bahawa di antara usaha Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi meningkatkan keselamatan awam ialah dengan memberikan kursus marsyal bomba di mana jumlah marsyal yang dilantik mendapat sambutan yang menggalakkan.

Sebanyak 166 buah organisasi, sektor swasta dengan keramaian 5,339 marsyal bomba telah dilantik, manakala 63 buah agensi kerajaan dengan keramaian 4,585 marsyal bomba telah menyertai kursus itu.

“Saya berharap usaha memahamkan dan memupuk kesedaran orang ramai hendaklah diteruskan dan dipertingkatkan demi memelihara keselamatan semua,” tambahnya.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar turut menekankan bahawa, “Demi memastikan keberkesanan latihan-latihan ini, agensi-agensi adalah digalakkan untuk mengadakan latihan kecemasan (fire drill) dari semasa ke semasa bagi menguji semua yang terlibat dapat mengikuti prosedur-prosedur kecemasan.”