Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Seramai 354 orang pelajar Sanah 10 Fast Track dan Sanah 11 dari Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS) telah diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran dan diselajurkan dengan Majlis Hafl Al-Takharruj, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna, SUAMPRIPAHS itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim yang turut menyampaikan hadiah kepada pelajar yang diraikan.
Pengerusi majlis, Hajah Azizah binti Haji Mohammad dalam ucapannya antara lain menjelaskan, Majlis Haflut Takharruj itu merupakan yang julung kali diadakan sejak sekolah berkenaan mula digunakan.
Selain 354 pelajar yang diraikan, ujar beliau, majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah pelajar terbaik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB) seramai 36 orang manakala tiga orang pelajar pula menerima hadiah terbaik dalam BC GCE O Level.
Beliau seterusnya berkata, kejayaan itu tidak akan mudah dicapai tanpa adanya sokongan, galakan dan doa restu yang berterusan daripada ibu bapa dan penjaga.
Majlis khatam Al-Quran antara lain bertujuan untuk memupuk rasa kecintaan dan minat pelajar-pelajar terhadap pembacaan Al-Quran dengan baik dan sempurna, sekali gus menjadikannya sebagai amalan harian.
Majlis penyampaian sijil pula diadakan untuk memberigakan dan memartabatkan pendidikan Islam dan Arab kepada masyarakat selain menzahirkan kegembiraan, kesyukuran serta penghargaan atas kejayaan pelajar dalam peperiksaan SPUB dan BC GCE O Level.
Selain itu, majlis juga memotivasikan pelajar-pelajar untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan dan kecemerlangan. Melalui majlis itu juga, ia dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan kerjasama antara ibu bapa dan warga sekolah.