3,549 unit rumah dalam rancangan pembinaan di Sarawak

KUALA LUMPUR, 10 SEPT – Sebanyak 3,549 unit rumah mampu milik di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam perancangan untuk dibina di Sarawak bagi tempoh 2021 hingga 2023.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata projek perumahan yang terlibat adalah Program Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM), Perumahan PR1MA, dan Program Perumahan SPNB.

“Cadangan bilangan unit untuk PPR adalah 750 unit, PPAM sebanyak 538 unit, Perumahan PR1MA 702 unit dan Program Perumahan SPNB sebanyak 1,559 unit,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara, hari ini. Beliau menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew yang ingin tahu jumlah rumah mampu milik yang dicadangkan untuk Sarawak bagi tahun 2021 hingga 2023.

Ismail berkata sehingga 30 Julai lepas, sebanyak lapan projek dengan 4,140 unit rumah PPR telah siap dibina di negeri itu manakala tiga projek sedang dalam pembinaan yang dijangka siap pada 2021 dan 2022.

Katanya, KPKT juga telah mengemukakan dua cadangan permohonan projek PPR baharu di Bintulu yang melibatkan pembinaan 500 unit rumah pangsa berbilang tingkat dan di Mukah yang melibatkan pembinaan 250 unit rumah teres satu tingkat kepada agensi pusat (Unit Perancang Ekonomi). – Bernama