36 dipilih bagi cabutan utama Aifa

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Sebanyak 36 nama telah dipilih untuk menyertai cabutan akhir Kempen Cabutan Bertuah Aifa sempena Hari Raya Aidilfitri 2020, pada majlis undian awal yang telah diadakan di Restoran Stadium, Berakas, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis anjuran Aifa Sdn Bhd itu ialah Dato Paduka Haji Mohammad Yussof bin Bakar yang turut memilih 36 pelanggan bertuah daripada 50,000 kupon cabutan.

Kempen itu telah berjalan dari 24 April hingga 31 Julai lalu di mana cabutan utama menawarkan hadiah-hadiah bernilai $24,000.

Pengarah Urusan Aifa Sdn Bhd, Dr Andy Lau Sie Chong dalam ucapannya menjelaskan bahawa promosi itu merupakan cabutan bertuah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam menghargai sokongan berterusan dan tindak balas positif ke atas pasaran yang memberangsangkan.

“Aifa Sdn Bhd sudah berada di pasaran selama 36 tahun dan kami bukan hanya mahukan keuntungan semata-mata tetapi kami juga memberikan produk yang dapat memenuhi keperluan pasaran dan memahami pentingnya perkhidmatan selepas jualan kepada pelanggan.

“Sejak penularan wabak Covid-19 di Negara Brunei Darussalam, Aifa Sdn Bhd telah menerima respons yang sangat memberangsangkan daripada pelanggan, memandangkan sempadan ditutup buat sementara waktu, ia memberikan peluang kepada penduduk di negara ini untuk berbelanja di dalam negara,” ujarnya.

Pada majlis itu, Dr Andy Lau juga melancarkan beberapa produk terbaharu dengan promosi istimewa bermula semalam.

Turut hadir ialah rakan-rakan kongsi Aifa dari beberapa syarikat tempatan di Negara Brunei Darussalam.

Cabutan awal bagi memilih 36 pelanggan yang akan menyertai cabutan utama Kempen Cabutan Bertuah Aifa telah diadakan semalam.