Thursday, February 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    36 keluarga terima sumbangan

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    SERIA, 3 Mei – Sebanyak 36 buah keluarga daripada Kampung Lumut I dan Lumut II yang dikenal pasti sebagai mereka yang memerlukan, telah menerima sumbangan berupa barangan asasi dan makanan pada Majlis Pengagihan Barangan Asasi di Masjid Zainab, Kampung Lumut, di sini, hari ini.

    Sumbangan berkenaan merupakan hasil kutipan daripada orang ramai yang diserahkan kepada ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid tersebut sebagai penganjur majlis yang telah membukakan peluang menderma kepada masyarakat yang memerlukan bermula pertengahan Mac hingga 8 April lalu.

    Pengerusi majlis, Ketua Imam Masjid Zainab, Haji Aminorddin bin Haji Mohd Yusof semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya berkata, program itu membukakan peluang bersedekah dengan menyumbangkan bantuan berbentuk keperluan asasi dan makanan kepada masyarakat memerlukan.

    Sambutan orang ramai sangat menggalakkan dan pihak masjid berkenaan menerima sumbangan hampir setiap hari dan jumlah barangan adalah lebih daripada apa yang dijangkakan.

    Menurutnya lagi, sumbangan tersebut tetap terus disampaikan kepada masjid walaupun tarikh untuk menerimanya sudah ditutup.

    Haji Abdul Rahman ketika menyampaikan surat pengesahan bagi mengambil agihan sumbangan barangan asasi.
    Haji Abdul Rahman ketika menyampaikan surat pengesahan bagi mengambil agihan sumbangan barangan asasi.
    Antara penerima sumbangan yang menghadiri Majlis Pengagihan Barangan Asasi di Masjid Zainab, Kampung Lumut Seria.
    Antara penerima sumbangan yang menghadiri Majlis Pengagihan Barangan Asasi di Masjid Zainab, Kampung Lumut Seria.

    Semasa ditemui Media Permata, Haji Aminorddin memberitahu bahawa pemberitahuan tentang program bersedekah itu disampaikan secara lisan dan secara bersurat kepada orang ramai, terutama sekali kalangan penduduk Kampung Lumut I dan Lumut II dan sekitarnya.

    Sementara itu, tambahnya, pemilihan keluarga yang menerima adalah hasil daripada penilaian kriteria dan perundingan jawatankuasa kerja majlis tersebut dengan bantuan ketua Kampung Lumut I dan II dan ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid tersebut.

    “Setiap keluarga yang dipilih hari ini menerima barangan asasi dan barangan makanan lainnya, diberikan mengikut keperluan sesebuah keluarga berkenaan.

    “Program seumpama ini dijangka akan diteruskan lagi dari pada masa akan datang selain ianya dijangka akan dijadikan sebagai projek takmir pada setiap tahun dengan hasrat semoga setiap keluarga yang memerlukan akan dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik,” katanya.

    Majlis pengagihan tersebut antara lain bertujuan untuk memberikan peluang kepada orang ramai untuk bersedekah dan menginfakkan harta mereka ke jalan yang diredai Allah S.W.T dan juga bagi menjadikan masjid bukan sahaja sebagai tempat beribadat semata-mata bahkan juga sebagai pusat pembangunan masyarakat.

    “Dengan bersedekah, Insya-Allah ikatan kemasyarakatan akan bertambah erat dan menjadikan Kampung Lumut ini menjadi tempat yang diberkati dan dirahmati Allah,” ujar Haji Aminorddin.

    Terdahulu, majlis juga mendengarkan ceramah agama yang disampaikan oleh penceramah undangan dari Pusat Dakwah Islamiah, Awang Mohd Yusri bin Abdul Majid dengan ceramahnya bertajuk ‘Sabar dalam Menghadapi Ujian dan Bersyukur Dengan Apa Yang Telah Dikurniakan’.

    Seterusnya, majlis diteruskan dengan acara penyampaian surat untuk mengambil agihan sumbangan barangan asasi kepada penerima-penerimanya yang telah disempurnakan oleh Ketua Kampung Lumut II, Haji Abdul Rahman bin Hashim dengan disaksikan bersama oleh pengerusi majlis.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda