36 Kes positif COVID -19 dicatatkan di EPL

LONDON, 12 JAN – Liga Perdana Inggeris (EPL) kelmarin mendedahkan bahawa 36 pemain dan kakitangan disahkan positif koronavirus sejak seminggu yang lalu, sedikit penurunan dari jumlah rekod 40 kes dalam tujuh hari sebelumnya.

Angka jangkitan yang melambung tinggi di seluruh Britain telah memaksa negara itu mengisytiharkan perintah berkurung di seluruh negara berikutan penularan varian COVID-19 yang memberi tekanan di hospital-hospital.

“EPL hari ini mengesahkan bahawa antara hari Isnin 4 Januari dan Ahad 10 Januari, dalam dua pusingan ujian, 2,593 pemain dan kakitangan kelab telah menjalani ujian COVID-19. Dari jumlah ujian tersebut, 36 telah disahkan positif,” kata EPL dalam satu kenyataan.

Pertembungan Aston Villa dengan Tottenham, yang dijadualkan pada Rabu lalu, menjadi perlawanan EPL kelima yang ditangguhkan dalam dua bulan terakhir kerana wabak.

Kerana jadual yang sudah padat, Tottenham kini akan menentang Fulham dalam pertandingan berkenaan yang telah disusun semula.

Jamaal Lascelles (kiri) dan Sean Longstaff dari Newcastle berlutut sebelum bermulanya perlawanan pusingan ketiga Piala FA menentang Arsenal di Stadium Emirates pada 9 Januari lalu. Jamaal Lascelles baru-baru ini telah dijangkiti COVID-19. – AP

Pertembungan Fulham dengan Chelsea dan kunjungan Everton ke Villa hujung minggu ini juga ditangguhkan sehari.

Sukan elit setakat ini diteruskan walaupun terdapat sekatan, tetapi beberapa bintang berprofil tinggi EPL telah melanggar peraturan itu yang menyebabkan tindakan yang lebih keras diambil.

Tiga pemain Tottenham, Erik Lamela, Sergio Reguilon dan Giovani Lo Celso dan seorang pemain Manchester City Benjamin Mendy adalah antara pemain yang menghadiri pesta sepanjang musim perayaan.

Pengurus Newcastle, Steve Bruce adalah pengurus EPL pertama yang mempersoalkan terhadap pengurusan bola sepak semasa, meletakkan pemain dan kakitangan mereka sendiri berisiko.

Stadium latihan Newcastle ditutup pada bulan Disember lalu kerana wabak dengan pemain Jamaal Lascelles dan Allan Saint-Maximin mengalami gejala serius.

“Kejadian yang melanda kelab kami dalam seminggu ini adalah sesuatu yang akan dilihat oleh semua kelab sekarang,” kata Bruce.

“Ia sukar untuk dibendung. Dari segi kewangan, betul lebih baik diteruskan perlawanan tetapi secara moral, bagi saya, ia mungkin salah.” – AFP