Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 APRIL – Seramai 36 orang dari 23 buah rumah di Mukim Serasa telah menerima sumbangan berupa makanan asasi dan wang ringgit dalam Majlis Sentuhan Kasih di mukim berkenaan, hari ini.
Sumbangan tersebut diberikan kepada warga emas dan golongan yang kurang berkemampuan serta berdaftar dengan Majlis Ugama Islam Brunei dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).
Sumbangan daripada penaja dan orang ramai itu diserahkan dalam konsep bertandang ke kediaman penerima untuk melihat lebih dekat lagi kehidupan mereka seterusnya beramah mesra.
Penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat 2 dan Ketua Bahagian Institusi Mukim dan Kampung di Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Awang Rosdin bin Haji Abdul Aziz.
Terdahulu itu, majlis bacaan Doa Selamat diadakan di kediaman Pemangku Ketua Kampung Kapok, Pengiran Haji Ibrahim bin Pengiran Haji Timbang.
Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman yang juga ketua Kampung Masjid Lama Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong Zon 2.
Majlis berkenaan dianjurkan oleh Majlis Perundingan Kampung Kapok Muara dan sumbangan tersebut disumbangkan oleh Poomaan Sdn Bhd, Butra Heidelberg Cement Sdn Bhd, Sifana Sdn Bhd, P.C.B, Tokong Cina Muara dan orang persendirian.
Pengagihan sumbangan hari ini menumpukan penerima di Kampung Kapok, Kampung Serasa, Kampung Perpindahan Serasa, Kampung Masjid Lama dan Rancangan Perumahan Negara Kampung Meragang.
Sementara pengagihan kepada 15 buah rumah di Kampung Kapok akan diteruskan lagi esok yang mana rombongan pengagihan akan diketuai oleh Pengiran Haji Ibrahim.