362,000 mohon faedah pengangguran di AS

WASHINGTON, 1 OKT – Jumlah penduduk Amerika yang memohon faedah pengangguran meningkat untuk minggu ketiga berturut-turut, tanda bahawa varian delta yang sangat menular mungkin melambatkan pemulihan di pasaran pekerjaan.

Tuntutan meningkat secara tidak dijangka sebanyak 11,000 minggu lalu kepada 362,000, kata Jabatan Tenaga Kerja hari ini, walaupun para ahli ekonomi menjangkakan tuntutan akan berkurangan. Rata-rata tuntutan selama empat minggu, yang naik turun minggu ke minggu, meningkat untuk pertama kalinya dalam tujuh minggu kepada 340,000.

Sejak mencecah 900,000 pemohon pada awal Januari lalu, permohonan menurun dengan stabil ketika ekonomi pulih dari sekatan perintah berkurung tahun lalu. Tetapi kini ia meningkat seiring dengan jangkitan koronavirus.

Sebelum wabak itu melanda Amerika Syarikat (AS) pada bulan Mac 2020, mereka biasanya menerima permohonan sekitar 220,000 seminggu.

Majikan di AS telah menambah pengambilan pekerja mereka sejak mereka mereka mengurangkan 22 juta pekerjaan pada bulan Mac dan April 2020 semasa wabak koronavirus dan sekatan yang dikenakan menyebabkan aktiviti ekonomi hampir terhenti. Sejak itu, ekonomi kembali pulih apabila hampir 17 juta orang mula bekerja tatkala perniagaan dibuka semula atau waktu perniagaan dilanjutkan dan penduduk kembali mengunjungi restoran dan hotel.

Tetapi pengambilan pekerja berjumlah lebih 585,000 secara purata sebulan tahun ini, berkurangan kepada 235,000 pada bulan Ogos lalu apabila varian delta menjejas pemulihan.

Restoran dan bar membuang hampir 42,000 pekerja bulan lalu, penurunan pertama tahun ini. Pengambilan pekerja dijangka meningkat kepada 560,000 bulan ini tatkala Jabatan Tenaga Kerja mengeluarkan laporan pekerjaan September pada minggu depan.

Dalam nota penyelidikan, Penasihat Contingent Macro mengatakan bahawa faktor teknikal – penyelarasan bermusim dan tunggakan pemprosesan di California, di mana tuntutan meningkat hampir 18,000, bertanggungjawab atas peningkatan tuntutan minggu lalu.

“Secara keseluruhan, lonjakan tuntutan dalam tiga minggu terakhir menjadi tumpuan namun belum mencecah tahap membimbangkan,” kata Contingent. – AP

Poster pengambilan pekerja diletakkan di salah sebuah petak pameran semasa pameran pekerjaan pada 22 September lalu, di Hollywood Barat di Los Angeles. Jumlah penduduk Amerika yang memohon faedah pengangguran meningkat minggu lalu untuk minggu kedua berturut-turut. – AP