Thursday, January 23, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    3,661 anak yatim terima kupon DANA

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 DIS – Seramai 3,661 orang anak yatim di seluruh negara yang berdaftar dengan Sekretariat DANA akan menerima sumbangan dalam bentuk kupon bagi membeli peralatan dan keperluan persekolahan untuk sesi tahun 2022 yang jumlah keseluruhannya sekitar $830,150.

    Sehubungan dengan itu, Majlis Penyampaian Sumbangan DANA kepada Anak-anak Yatim di seluruh negara telah diadakan hari ini di Dewan Serba Guna, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Pada tahun ini, sumbangan kupon dibahagikan kepada dua kategori anak-anak yatim, iaitu anak-anak yatim yang terdiri daripada keluarga yang kurang berkemampuan (maklumat diperolehi dari Sistem Kebajikan Negara – SKN) iaitu seramai 1,959 orang yang akan menerima kupon bernilai $250 setiap seorang dengan jumlah keseluruhannya adalah sebanyak $489,750.

    Manakala anak-anak yatim (tidak berdaftar dalam SKN) iaitu seramai 1,702 orang akan menerima kupon bernilai $200 dengan jumlah keseluruhan sebanyak $340,400.

    Kupon-kupon DANA tersebut telah diserahkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar selaku ahli Lembaga Pemegang Amanah DANA kepada pegawai dan pemangku pegawai daerah.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa menyerahkan replika kupon DANA kepada Awang Mislee.
    Awang Ajmin menerima replika kupon daripada Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

    Bagi Daerah Brunei dan Muara, kupon berjumlah $586,550 untuk seramai 2,576 orang telah diterima oleh Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Mislee bin Haji Abdul Karim.

    Bagi Daerah Belait, kupon berjumlah $91,450 untuk seramai 407 orang diterima oleh wakil Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Mohamad Yassin bin Haji Ahmed; bagi Daerah Tutong, kupon berjumlah $110,950 untuk seramai 495 orang diterima oleh Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Ajmin bin Haji Meludin; dan Daerah Temburong kupon berjumlah $41,200 untuk seramai 183 orang diterima oleh wakil Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhammad Ameer Mubarak bin Pengiran Haji Hashim.

    Kupon-kupon tersebut seterusnya akan diserahkan kepada anak-anak yatim di seluruh negara melalui ketua-ketua kampung masing-masing.

    Kupon-kupon itu sah ditukarkan atau digunakan di 33 buah syarikat yang membekalkan barang-barang keperluan dari buku, alat tulis, hingga kelengkapan pakaian sekolah tersebut yang dikenal pasti oleh DANA di keempat-empat buah daerah.

    Di samping itu juga, kupon-kupon DANA boleh digunakan di sekolah sama ada di bawah Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama mahupun sekolah swasta.

    Daripada 33 buah syarikat tersebut juga, sebanyak 19 buah syarikat bersetuju untuk menyumbangkan 5 peratus daripada hasil jualan melalui kupon tersebut kepada DANA.

    Sumbangan itu dihasratkan bagi memberi galakan dan kesedaran dalam kalangan anak yatim untuk menghargai kepentingan pendidikan dalam kehidupan mereka di masa hadapan dan seterusnya memberi dorongan kepada mereka bagi mempertingkatkan pencapaian pendidikan mereka.

    Bagi ibu dan penjaga pula, sumbangan itu dihasratkan untuk meringankan bebanan perbelanjaan yang ditanggung khususnya menjelang penggal awal persekolahan anak-anak mereka.

    Adalah diharapkan bantuan seperti ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak yatim dan penjaga mereka.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku pemangku ketua pegawai eksekutif DANA; para pegawai kanan kerajaan, pegawai-pegawai kanan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, dan pegawai-pegawai kanan dari DST, Progresif Sdn Bhd dan imagine Sdn Bhd.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda