37 kejadian tanah runtuh di Mambong

KUCHING, 19 JAN – Hujan berlarutan minggu lepas telah menyebabkan 37 kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong, dekat sini, kata Ahli DUN kawasan itu, Datuk Dr Jerip Susil.

Menurutnya, tiga jalan raya yang menghubungkan Kampung Sadir, Kampung Kiding dan Kampung Sepit dengan jalan utama ke bandar raya Kuching runtuh pada bahagian bahu jalan akibat hujan yang lebat dan berterusan selama beberapa hari.

“Empat buah rumah milik individu turut mengalami kerosakan akibat tanah runtuh, masing-masingnya di Kampung Garung, Karu, Sadir dan Parang,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja gotong-royong membaik pulih rumah Nona Budis, 63, di Kampung Garung, di kilometer 40 Jalan Puncak Borneo, hari ini.

Katanya, rumah milik Nona adalah yang paling teruk kerosakannya akibat ditimbus tanah runtuh pada malam Khamis lalu. – Bernama