37 pegawai ABDB naik pangkat

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai – Atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Menteri Pertahanan dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), seramai 37 orang pegawai ABDB telah diperkenankan untuk dinaikkan pangkat.

Pegawai-pegawai yang dinaikkan pangkat berkenaan diraikan dalam Majlis Kenaikan Pangkat yang diadakan di Mes Pegawai Berakas Garison, hari ini. Hadir untuk menyempurnakan majlis kenaikan pangkat berkenaan ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

Juga hadir bagi menyaksikan majlis yang penuh bermakna itu ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz dan Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi turut hadir pada majlis meraikan 37 pegawai yang dinaikkan pangkat.
Mejar Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan menyempurnakan penyematan tanda pangkat kepada 438 Leftenan Kolonel Haji Abdul Razak.
Mejar Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan menyempurnakan penyematan tanda pangkat bagi pegawai-pegawai ABDB yang dinaikkan pangkat pada majlis yang berlangsung di Mes Pegawai, Berakas Garison.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, komandan-komandan, pengarah-pengarah, para pegawai kanan dan pegawai Kementerian Pertahanan dan ABDB serta ahli keluarga pegawai-pegawai yang dinaikkan pangkat.

Pegawai-pegawai yang dinaikkan pangkat terdiri daripada tiga orang pegawai kanan yang dinaikkan ke pangkat Kolonel iaitu 438 Leftenan Kolonel Haji Abdul Razak bin Haji Abdul Kadir, 339 Leftenan Kolonel (U) Rahman @ Abdul Rahman bin Haji Durahman dan 414 Leftenan Kolonel Haji Mohd Huzaimi bin Pehin Datu Harimaupadang Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Husin.

Pada majlis itu juga, seramai empat orang pegawai dinaikkan ke pangkat Leftenan Kolonel / Komander Tetap, enam orang pegawai ke pangkat Pemangku Leftenan Kolonel / Komander, enam orang pegawai ke pangkat Mejar / Leftenan Komander Tetap, 17 orang pegawai dinaikkan ke Kapten Tetap / Leftenan Tetap (TLDB) dan seorang pegawai dinaikkan ke pangkat Kapten Tetap (Tauliah Khas).