Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Seramai 37 orang mahasiswa dan mahasiswi Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) berjaya menamatkan Kursus Asas dan Lanjutan Kemahiran Kaunseling bagi Program Rakan Untuk Mu Amalan Terpuji (UMAT) bagi Pengambilan Pertama dan menerima sijil masing-masing pada Majlis Penutup dan Penubuhan Rakan UMAT UNISSA, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan sijil penyertaan ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.
Majlis turut menyaksikan penyampaian penghargaan kepada pereka baju Rakan UMAT, Kumpulan Terbaik, Peserta Siswa Terbaik dan Peserta Siswi Terbaik.
Kursus selama lapan hari itu telah diisi dengan pelbagai kemahiran seperti kemahiran asas, kaunseling, menolong, mengawal tekanan dan membuat keputusan.
Rakan UMAT adalah satu kumpulan mahasiswa dan mahasiswi yang terlatih dalam bidang kemahiran asas kaunseling dan komunikasi serta berfungsi sebagai seorang pembimbing yang berkesan kepada rakan siswa, terutama mereka yang memerlukan pertolongan dan sedang menghadapi cabaran kehidupan.
Ia juga berfungsi seperti pembimbingan rakan sebaya (PRS) di sekolah-sekolah, cuma di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) dengan UNISSA merupakan IPT pertama menubuhkan kumpulan terlatih dan berkesan dalam membimbing rakan siswa.
Selain daripada menjadi Rakan UMAT yang berkesan, mereka juga sebagai role model kepada rakan siswa yang akan turut istiqamah dan mempunyai jati diri yang unggul serta asas kepimpinan yang baik.
Pengambilan dan kursus Rakan UMAT dilaksanakan dua kali dalam setahun iaitu pada Jun dan Disember yang dibukakan kepada mahasiswa dan mahasiswi Tahun 1 hingga 3 yang berminat dan memenuhi syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan.