37 pengusaha sertai gerai perayaan Belait

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 20 JULAI – Bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-74, sebanyak 37 pengusaha telah mendirikan gerai sebagai sebahagian daripada perayaan di dae-rah tersebut yang bermula 15 Julai lalu.

Dengan pengusaha-pengusaha mendirikan gerai di sekitar premis Tudung Saji, Kuala Belait, perayaan berkenaan telah menarik lebih 3,200 pengunjung sejak ia bermula, menurut RYS Entertainment yang menguruskan gerai malam.

Berikutan penularan wabak COVID-19, perayaan yang dianjurkan kali ini disesuaikan dengan mematuhi nasihat yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan.

Ini termasuk pengimbasan kod QR BruHealth di kedua-dua pintu masuk ke kawasan berkenaan serta pengimbasan suhu badan. Di samping itu, langkah-langkah penjarakan sosial juga dilaksanakan sepanjang perayaan selaras dengan garis panduan dan langkah-langkah
pencegahan.

Gerai perayaan berkenaan dijadualkan berjalan sehingga 31 Julai depan dan dibuka dari 5 petang hingga 10 malam.

Orang ramai tidak melepaskan peluang mengunjungi gerai perayaan di Daerah Belait.