Thursday, December 8, 2022
24.7 C
Brunei

-

37 premis tanpa sijil halal di Menglait

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan KHEU

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OKT – Para pegawai penguatkuasaan Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH), Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), melancarkan operasi besar-besaran memeriksa status kehalalan beberapa kedai dan restoran di Menglait dan kawasan sekitarnya hari ini.

Menurut kenyataan KHEU, operasi bertujuan menguatkuasakan peruntukan Bab 4 (1) dan Bab 10 (1) (a), Perintah Sijil Halal dan Label Halal (Pindaan), 2017 mengenai kewajipan memohon Sijil Halal atau Permit Halal Majlis Ugama Islam Brunei yang dikenakan ke atas pengusaha-pengusaha makanan di negara ini.

Sebanyak 83 buah premis makanan diperiksa dan 37 didapati belum membuat permohonan sijil halal dan dikeluarkan notis untuk menghadapkan permohonan dalam tempoh yang ditetapkan.

BKMH juga mendapati beberapa buah premis melakukan kesalahan lain iaitu enam buah premis menggunakan label atau logo halal Majlis Ugama Islam tanpa kebenaran dan dua buah premis mempamerkan sijil halal yang telah mansuh.

Premis-premis tersebut telah dikeluarkan notis dan diarahkan menurunkan serta-merta sijil halal yang telah mansuh dan label halal yang tidak lagi sah.

Pegawai penguatkuasaan BKMH semasa mencatatkan kesalahan yang dilakukan oleh pengusaha makanan di Menglait.
Pegawai penguat kuasa semasa membuat pemeriksaan di salah sebuah premis.

Operasi rondaan kali keenam itu menumpukan restoran-restoran, kedai-kedai makan dan premis pembuatan produk makanan di kawasan Menglait, Gadong dan akan dilaratkan ke kawasan lain di seluruh negara secara berperingkat.

Sebelum ini, operasi telah diadakan di beberapa zon di Daerah Brunei dan Muara merangkumi kawasan Batu Satu, pusat bandar, Kiulap, Gadong dan Batu Bersurat.

Kegagalan premis-premis makananuntuk mematuhi undang-undang dibawah Bab 12 (3) (a) dan Bab 35, Perintah Sijil Halal dan Label Halal, 2005 boleh dikenakan hukuman denda sehingga $4,000 dan $8,000 atau penjara sehingga setahun dan dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, KHEU menegaskan permohonan untuk mendapatkan sijil halal atau permit halal bagi perniagaan makanan yang beroperasi di negara ini adalah mandatori. 

Jabatan turut menyeru semua pengusaha makanan di negara ini yang belum mempunyai sijil halal atau permit halal untuk menghadapkan permohonan dengan segera. 

Kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan denda sehingga $8,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali. 

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

China umum pelonggaran sekatan seluruh negara

BEIJING, 7 DIS – China hari ini mengumumkan langkah pelonggaran sekatan COVID di seluruh negara yang menjejaskan negara ekonomi kedua terbesar dunia dan mencetuskan...
- Advertisment -