Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Kementerian Pembangunan bersama Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menganjurkan Kursus Asas Penyiasatan selama tiga hari bagi pegawai dan kakitangan kerajaan di bawah Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya dari 7 Mac lalu hingga hari ini.
Kursus tersebut telah diadakan di Atria Simpur Dewan, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya.
Objektif penganjuran kursus itu adalah untuk meningkatkan pengetahuan agensi di bawah Kementerian Pembangunan mengenai penguatkuasaan mengikut amalan terbaik yang diamalkan oleh PPDB.
Seramai 37 orang peserta telah mengikuti kursus tersebut iaitu dari Jabatan Tanah; Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi); Jabatan Kerja Raya; Jabatan Perancangan Bandar dan Desa dan Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe).
Fasilitator-fasilitator adalah terdiri daripada pegawai-pegawai polis dari PPDB yang mengongsikan kepakaran mereka mengenai asas penyiasatan.
Sehubungan itu, telah diadakan majlis penutup dan penyampaian sijil kepada semua peserta kursus dan fasilitator yang diadakan pada petang hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-undang), Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh yang turut menyampaikan ucapan alu-aluan di majlis tersebut.
“Kepakaran fasilitator dari PPDB sudah pasti membantu kementerian untuk lebih memahami selok-belok tugas dan kemahiran yang diperlukan bagi menjalankan tugas dan tanggungjawab berkaitan penguatkuasaan dengan lebih berkesan,” katanya.
