Tuesday, December 3, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    37 syiling emas dicuri dari kapal kurun ke-18 dijumpai semula

    FLORIDA, 29 NOV – Sebanyak 37 syiling emas yang dicuri dari bangkai kapal berusia hampir 310 tahun di pesisir pantai Florida telah berjaya ditemui semula oleh pihak berkuasa, menurut Suruhanjaya Pemuliharaan Ikan dan Hidupan Liar Florida (FWC) minggu ini.
     
    Penemuan itu dianggap sebagai ‘pencapaian penting dalam siasatan jangka panjang’ terhadap kecurian dan penyeludupan artifak sejarah secara haram, kata agensi tersebut dalam kenyataan pada Selasa lalu. Syiling-syiling itu dianggarkan bernilai lebih AS$1 juta.
     
    Pihak berkuasa melaporkan bahawa pada 2015, sebanyak 101 syiling emas ditemui dari 1715 Fleet – sebuah kapal armada Sepanyol yang membawa harta karun dan karam akibat taufan di pesisir tengah Florida.
     
    “Namun, 50 daripada syiling tersebut tidak dilaporkan dan dicuri, manakala 51 yang lain telah dilaporkan dengan betul dan diselesaikan melalui proses undang-undang,” kata pihak berkuasa.
     
    Siasatan menunjukkan penjualan haram syiling emas itu berlaku pada 2023 dan 2024. Melalui waran geledah, pihak berkuasa berjaya menemui semula syiling-syiling tersebut di kediaman peribadi, peti deposit keselamatan, dan lelongan.
     
    Agensi itu telah mengenal pasti seorang suspek, yang merupakan ahli keluarga daripada pasukan yang diupah untuk menyelamatkan bangkai kapal tersebut sedekad lalu, tetapi status pendakwaan terhadapnya masih tidak jelas. 
     
    Menurut undang-undang negeri dan persekutuan, artifak yang ditemui akan dikembalikan kepada ‘pemegang hak’ yang sah. – AP 
     
    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda