GONAIVES, Haiti, 13 Mac – Sebuah bas yang memecut laju dari kemalangan langgar lari telah merempuh berbelas-belas ahli muzik jalanan di utara Haiti semalam, membunuh 38 orang, menurut para pegawai.
Seramai 13 orang lagi cedera dalam kemalangan itu yang berlaku sebelum pukul 4 pagi di Gonaives, sebuah bandar yang mempunyai penduduk kira-kira 300,000 orang yang terletak kira-kira 150 kilometer barat laut bandar Port-au-Prince.
“Kami dalam kumpulan, berseronok! Dan kemudian bas melintas melanggar orang,” kata Jean Renald Edouard, yang terbaring di katil bilik kecemasan.
“Dia melanggar pinggul saya dan kemudian saya rebah. Selepas itu, segala-galanya hitam,” kata lelaki berusia 26 tahun itu, ketika teman wanitanya duduk di tepi katilnya.
Mula-mula, bas itu merempuh dua orang pejalan kaki, membunuh seorang dan mencederakan seorang lagi, menurut Marie-Alta Jean Baptiste, ketua pejabat perlindungan awam Haiti.

Pemandu bas Blue Sky itu kemudian merempuh tiga kumpulan ahli muzik jalanan ketika dia cuba memecut laju lari dari tempat itu, dengan meninggalkan kejadian pembunuhan beramai-ramai yang dahsyat.
Bilangan yang tercedera pada awalnya ialah 17, tetapi empat orang mangsa kemudian meninggal dunia di hospital, menurut polis kebangsaan di Gonaives.
Pihak polis terpaksa mengawal orang ramai yang naik berang selepas kejadian mengerikan itu. Para pemandu di Haiti yang terlibat dalam kemalangan jarang sekali berhenti di tempat kejadian kerana mereka takut akan serangan perusuh-perusuh setempat yang mahu menegakkan keadilan.
“Orang ramai yang bukan mangsa kemalangan cuba membakar bas bersama penumpang di dalamnya,” kata Faustin Joseph, penyelaras perlindungan awam bagi Jabatan Artibonite, tempat terletaknya Gonaives, bandar serantau.
Sistem bas Bus Sky, sebuah syarikat swasta yang menawarkan laluan jarak jauh, adalah pilihan mahal bagi perjalanan di Haiti dengan koc moden berhawa dingin.
Kebanyakan penduduk Haiti umumnya membuat perjalanan menaiki bekas bas-bas sekolah Amerika, yang berulang alik, dan kerap melakukan persinggahan.
Pihak berkuasa pada awalnya berkata mereka telah menahan pemandu bas berkenaan, tetapi dia sebenarnya lari dari tempat kejadian, ketua lalu lintas Gonaives Jeudy Lisate memberitahu AFP. Polis masih berusaha mengenal pasti identitinya. – AFP