38 mangsa sindiket pemerdagangan manusia, diselamatkan

SONGKHLA, 11 JUN – Polis Thailand menyelamatkan 38 warga Myanmar yang juga mangsa sindiket pemerdagangan manusia dalam satu serbuan di Patong, Hatyai, di sini.

Pengarah Pusat Perlindungan Kanak-kanak, Wanita, Keluarga dan Antipemerdagangan Manusia Jeneral Polis Suchat Theerasawat berkata kesemua mangsa, termasuk seorang wanita dikurung dalam sebuah rumah sewa dan dipercayai akan diseludup ke Malaysia.

Sebelum itu, beliau berkata polis menahan seorang lelaki warga tempatan yang merupakan pemandu van untuk membawa mangsa dari Songkhla ke Pattani pada 12 tengah hari semalam.

“Hasil siasatan membawa kepada penemuan lokasi mangsa dikurung.

“Apabila pasukan polis tiba di lokasi, kesemua mangsa berada dalam keadaan berhimpit, sesak, lemah dan kelaparan. Mereka mendakwa sudah tiga hari tidak diberi makanan.

“Polis sedang menjejaki dalang sindiket pemerdagangan manusia ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Suchat berkata semua mangsa telah membuat bayaran 20,000 Baht untuk dibawa masuk dari Myanmar ke Malaysia.

“Mangsa dipercayai dibawa dari Hatyai ke Pattani dan kemudiannya ke Sungai Golok dan memasuki sempadan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata kesemua mangsa telah dibawa ke Balai Polis Thunglung untuk siasatan lanjut. – Bernama