Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mei – Seramai 39 orang ahli bomba pelatih telah berjaya menamatkan Kursus Asas Bomba Pelatih Lelaki Skuad ke-47 tahun 2016-2017 dan diraikan dalam majlis yang berlangsung di Pusat Latihan Bomba dan Penyelamat Lambak Kanan, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi upacara perbarisan tamat latihan ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Idris bin Haji Mohd Ali.
Haji Idris dalam ucapannya berkata, ilmu pengetahuan yang diperolehi dan kejayaan tamat latihan ini dikira sebagai keperluan asas dan penting dalam memberikan pengiktirafan kepada para peserta untuk dapat melaksanakan tugas-tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
Selain mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan, para peserta hendaklah sentiasa memiliki disiplin serta komitmen yang tinggi pada setiap waktu dan ketika, ujarnya.
Beliau juga menyarankan, sebagai pelatih yang baru menamatkan latihan, niat dan minda mereka menceburi dalam bidang kebombaan bukanlah semata-mata hendak mempunyai pekerjaan yang tetap sahaja, tetapi perlu menanam sifat keikhlasan dalam menjalani tugas sebagai seorang anggota bomba dan penyelamat yang jujur dan amanah dalam menjalankan tugas.




Beliau juga menyeru semua peringkat anggota bomba dan penyelamat termasuklah para peserta yang baru sahaja menamatkan latihan supaya sentiasa mengamalkan budaya kerja berpasukan, saling hormat-menghormati, jujur, bersih lagi amanah, dedikasi, proaktif serta berdisiplin kerana sebagai anggota pasukan yang beruniform mengutamakan semangat kerja berpasukan dan berdisiplin bagi memastikan tugas-tugas dan tanggungjawab yang dipikul dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan produktif.
Selain daripada mempunyai pegawai dan anggota yang memiliki dan mengamalkan nilai-nilai budaya kerja yang positif, Jabatan Bomba dan Penyelamat hendaklah juga memastikan jentera-jentera, peralatan dan lain-lain keperluan sentiasa berfungsi.
Pada majlis itu, Haji Idris turut menyampaikan anugerah terbaik kepada empat orang ahli bomba pelatih lelaki yang terbaik dalam semua jurusan, terbaik dalam teori, terbaik dalam praktikal dan terbaik dalam latihan jasmani dan juga kepada seorang jurulatih terbaik.

ABPL Mohammad Wafiuddin @ Mohammad Rahimi bin Abdullah menerima Anugerah Teori Terbaik; ABPL Ampuan Mohammad Airul Fitri bin Ampuan Mohammad Daud menerima Anugerah Praktikal Terbaik; ABPL Mohamad Azrin bin Haji Awang Abdul Talip menerima Anugerah Latihan Jasmani Terbaik dan ABPL Ahwee bin Awang Yanif menerima Anugerah Semua Jurusan.
Manakala itu, Ahli Bomba Kanan, Ahmad Akbal Adi Yusa bin Haji Mohd Yusof telah menerima Anugerah Jurulatih Terbaik sepanjang kursus dijalankan.
Sepanjang program tersebut, para peserta telah diajarkan mata pelajaran kebombaan yang berbentuk teori dan praktikal yang dibahagikan kepada empat modul utama iaitu kejuruteraan dan sains kebombaan, pengurusan kebombaan, keselamatan kebombaan dan strategi operasi kebombaan.
Para peserta juga didedahkan dengan pembelajaran latihan kursus asas pertolongan cemas, kursus asas kemahiran komputer, kursus asas menyelamat di bangunan tinggi termasuklah latihan kursus asas memadam kebakaran kapal terbang di Unit Latihan dan Perkembangan Bomba Lapangan Terbang.
Selain itu, peserta rekrut mengikuti pelbagai aktiviti di sepanjang program termasuklah juga pembelajaran agama serta berpeluang mendengar taklimat-taklimat daripada Jabatan Biro Kawalan Narkotik, Biro Mencegah Rasuah, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Pusat Dakwah Islamiah dan Pusat Promosi Kesihatan.