39 cedera serangan pisau di sekolah

BEIJING, 4 JUN – Seorang pengawal keselamatan sekolah telah mencederakan kira-kira 39 orang dalam serangan pisau di sebuah sekolah rendah di selatan China pagi ini, lapor media kerajaan, dengan motifnya masih belum diketahui.

Semua 37 mangsa kanak-kanak, termasuk dua kakitangan pengajar telah dihantar ke hospital namun dalam keadaan selamat, kata pihak berkuasa di Daerah Cangwu, rantau Guangxi.

Insiden di Sekolah Rendah Pusat Wangfu itu berlaku sekitar jam 8:30 pagi apabila kanak-kanak biasanya tiba untuk masuk ke kelas. Penyerang itu yang dilaporkan berusia sekitar 50 tahun, ‘dapat dikawal’, menurut kerajaan.

“Pelajar-pelajar mengalami kecederaan ringan manakala dua pengajarnya mengalami kecederaan teruk. Kesemuanya telah dihantar ke hospital bagi menerima rawatan dan nyawa mereka tidak dalam bahaya,” menurutnya.

Sekolah-sekolah di rantau itu baru sahaja dibuka semula pada Mei selepas ditutup selama berbulan-bulan lamanya akibat wabak koronavirus.

Beberapa buah sekolah di China telah diserang dalam beberapa tahun kebelakangan, memaksa pihak berkuasa untuk meningkatkan keselamatan di tengah-tengah gesaan siasatan mencari punca serangan tersebut. – AP/AFP

Pagar sekolah rendah tempat serangan pisau berlaku di Wuzhou, China pada 4 Jun. – AFP