39 ditahan serang polis dalam ‘parti korona’

FRANKFURT AM MAIN, 19 JULAI – Tiga puluh sembilan orang ditahan selepas polis diserang dengan ‘botol’ di satu parti terbuka di tengah Frankfurt yang dihadiri oleh ribuan orang muda, kata polis di bandar Jerman hari ini.

Lima pegawai cedera dalam rusuhan yang bermula pada kira-kira 3 pagi apabila polis campur tangan untuk menghentikan pergaduhan yang membabitkan kira-kira 30 orang di dataran Opera di Frankfurt.

Dataran itu telah menjadi tempat perhimpunan popular untuk apa yang digelar oleh media tempatan sebagai ‘parti korona’ apabila bar dan kelab Jerman ditutup untuk menga-wal penularan virus.

Kira-kira 3,000 orang muda memenuhi dataran sekali lagi semalam tetapi hanya 500 hingga 800 yang masih berada di sana apabila rusuhan meletus, beritahu ketua polis Frankfurt Gerhard Bereswill pada sidang media.

Sekumpulan kecil pegawai dihantar untuk membantu seorang lelaki cedera dan menamatkan pergaduhan, tetapi mereka diserang orang ramai.

Sejumlah 39 tangkapan telah dilakukan, termasuk seorang wanita.

Yang lainnya adalah lelaki berusia 17 hingga 21 tahun, ‘kebanyakan mereka mempunyai latar belakang pendatang,’ tambah Bereswill.

Lapan orang masih ditahan dan mungkin menghadapi dakwaan mengganggu ketenteraman.

Serangan hari ini ‘merupakan klimaks perkembangan paling negatif’, beritahunya kepada wartawan.

Beberapa kenderaan polis dan sebuah perhentian bas turut diserang dalam keganasan, mengakibat kerosakan bernilai ribuan euro. – AFP