Wednesday, April 17, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    39 guru, 26 pelajar diraikan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MAC – Seramai 39 orang tenaga pengajar dan 26 orang pelajar hari ini diraikan pada majlis Doa Kesyukuran dan penghargaan serta penyampaian sijil yang berlangsung di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil bagi pihak Negara Brunei Darussalam di majlis berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

    Majlis diadakan serentak dalam talian di Oman dengan dihadiri oleh tetamu kehormat bagi pihak Kesultanan Oman di majlis itu iaitu Penasihat Menteri Prestasi Pembangunan Bahasa, Kementerian Pendidikan Kesultanan Oman, Dr Masouma binti Habib Al-Ajmia.

    Majlis turut dihadiri oleh Kuasa Usaha Kedutaan Oman, Sultan Mohd Azri. Ia adalah untuk tenaga pengajar dan pelajar-pelajar yang mengikuti Program Pertukaran Budaya dan Pendidikan di antara sekolah-sekolah dari Kesultanan Oman dan Negara Brunei Darussalam bagi tahun 1443H/2021M anjuran KHEU.

    Menurut Haji Mohd Seruddin, program ini sedikit sebanyak telah membantu meningkatkan prestasi tenaga-tenaga pengajar dan pelajar-pelajar dalam mempromosikan budaya bertutur dan menulis dalam bahasa Arab dan pertukaran bahasa dalam kalangan pelajar, debat dan perbincangan terbuka secara dalam talian.

    Majlis penyampaian sijil diadakan secara serentak di Negara Brunei Darussalam dan di Kesultanan Oman secara dalam talian.

    Program ini menggalakkan peserta tampil yakin dengan diri sendiri dan menggalakkan mereka berfikir secara kritis dan kreatif serta bertutur dan mengamalkan bahasa Arab dengan baik.

    KHEU berharap agar program ini menjadi platform pemula untuk pertukaran dan perkongsian ilmu, kemahiran dan pengalaman demi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab sebagai bahasa kedua bagi sekolah-sekolah Arab dan agama di Negara Brunei Darussalam.

    KHEU merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga atas sokongan yang telah diberikan oleh Kementerian Pendidikan, Kesultanan Oman kepada Negara Brunei Darussalam, dalam mempromosikan persekitaran bahasa Arab.

    Haji Mohd Seruddin menjelaskan hubungan baik yang sedia terjalin di antara Kesultanan Oman dan Negara Brunei Darussalam, di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haitham bin Tariq Al-Said, terus dieratkan lagi dengan kerjasama dan sokongan berterusan daripada Kesultanan Oman kepada Negara Brunei Darussalam melalui Program Pertukaran Budaya dan Pendidikan di antara sekolah-sekolah dari kedua-dua buah negara.

    “Pertemuan kita pada hari ini merupakan tanda sokongan berterusan yang Kesultanan Oman hulurkan di dalam sebarang inisiatif yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah agama dan Arab di Negara Brunei Darussalam, terutamanya dalam memperkasakan bahasa Arab dalam kalangan pelajar sekolah agama dan Arab,” tambah Haji Mohd Serudin.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China alu-alukan pelaburan asing dari Jerman

    BEIJING, 16 APRIL - Timbalan Perdana Menteri China, He Lifeng bertemu dengan delegasi ekonomi Jerman yang mengiringi Canselor Jerman, Olaf Scholz dalam lawatan ke...