39 individu kod merah ingkar arahan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Seramai 39 orang individu yang mempunyai kod merah telah didapati melanggar peraturan kuarantin dan keluar rumah.

Dapatan adalah hasil daripada operasi rondaan dan sekatan jalan raya di seluruh negara dijalankan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei sejak 14 Ogos lalu.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mendedahkan dapatan itu pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Pihak Kementerian Kesihatan mengambil serius perkara ini dan akan mengambil tindakan dengan menghadapkan mereka ke mahkamah atas kesalahan melanggar peraturan di bawah Akta Penyakit Berjangkit (Penggal 204),” tegas Yang Berhormat Dato lagi.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan sekali lagi menyeru semua orang ramai untuk sama-sama bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing dalam menangani penularan wabak COVID-19 serta berdoa kepada Allah SWT semoga Negara Brunei Darussalam sentiasa dilindungi dan diberkati.

“Semoga rakyat dan penduduknya sentiasa diberikan kesihatan dan keafiatan, dijauhkan dari segala penyakit dan jangkitan khususnya jangkitan COVID-19, serta semoga semua pesakit COVID-19 diberikan kesembuhan secepatnya,” tambah beliau.