39 kena kompaun di dua daerah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Sebanyak 39 kompaun atas pelbagai kesalahan lalu lintas telah dikeluarkan semasa operasi-operasi sekatan jalan raya yang dijalankan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di beberapa lokasi di Daerah Brunei dan Muara serta Belait.

Semasa sekatan serentak di enam buah lokasi berasingan di Daerah Brunei dan Muara, 14 kompaun telah dikeluarkan.

Menurut PPDB, antara objektif operasi sekatan berkenaan dijalankan adalah untuk memperkukuhkan lagi strategi keberadaan pihak polis, mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan jenayah, keselamatan dan kesejahteraan orang awam, mengurangkan dan menurunkan kadar kemalangan jalan raya terutama di musim-musim perayaan serta memastikan para pengguna jalan raya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan Akta Lalu Lintas Jalan Raya di Negara Brunei Darussalam.

Sementara itu, di Daerah Belait, operasi yang melibatkan keanggotaan Daerah Polis Belait bersama Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas, PPDB serta dari Biro Kawalan Narkotik (BKN), semalam, telah merekodkan sebanyak 25 kesalahan.

Antara kesalahan yang didapati termasuk ubah suai kenderaan, tidak mengikuti arahan polis beruniform, memasang lampu kuning di hadapan, lampu plat lesen tidak menyala dan beberapa kesalahan lagi.

Sekatan jalan raya berkenaan menyasarkan dua kawasan di lebuh raya Seria hala Belait dan Seria Bypass hala Lumut yang diketuai oleh Pegawai Siasatan Lalu Lintas Daerah Polis Belait, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Alvin Goh.

Operasi melibatkan seramai 42 keanggotaan dan ahli daripada agensi penguatkuasaan undang-undang terlibat dan sebanyak 454 kenderaan telah dijalankan pemeriksaan lanjut.

Anggota polis memeriksa sebuah kenderaan di salah satu daripada enam lokasi sekatan jalan raya yang dijalankan di Daerah Brunei dan Muara.
Keanggotaan Daerah Polis Belait semasa menahan beberapa kenderaan pada operasi tersebut di Daerah Belait.