39 kes baharu, 2 kluster dikesan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Sebanyak 39 kes baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan di Negara Brunei Darussalam pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 14,630 orang.

“Terdapat tambahan 17 kes baharu kepada empat kluster aktif yang sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya,” ujar Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar.

Sementara itu, terdapat dua kluster baru telah dikesan yang melibatkan sembilan kes yang merupakan kluster kediaman persendirian iaitu Kluster 14580 dan Kluster 14539.

Yang Berhormat Dato memaklumkan perkembangan berkenaan semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji
Sulaiman.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut mengongsikan bahawa lapan kluster telah ditutup setelah tidak ada kes dikesan di dalam kluster berkenaan selama 28 hari iaitu Kluster Rani Jaya staff house, Kluster SWWC Sdn Bhd, Kluster 11632, Kluster 11638, Kluster 11659, Kluster 9049, Kluster 8191 dan Kluster 8095, menjadikan jumlah kluster yang aktif menurun kepada 147 kluster.

Manakala, terdapat 13 kes baru yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

“Sebanyak 45 kes telah disahkan sembuh hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 14,107 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 425 kes,” tambah Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Dalam kalangan kes yang sedang dalam rawatan, menurut Yang Berhormat Dato, lima kes kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif dan kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation).

“Sementara itu, tidak ada kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang di bawah pemantauan rapi dan memerlukan bantuan oksigen,” kongsi beliau lagi.

Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 1,591 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 587,766 ujian.