39 maut pembunuhan beramai-ramai di Turki

ISTANBUL, 1 Jan – Seramai 39 orang, termasuklah ramai warga asing terbunuh apabila seorang lelaki bersenjata dilaporkan berpakaian seperti Santa Claus menyerbu sebuah kelab malam Istanbul ketika orang ramai yang sedang berpesta meraikan Tahun Baru, pembunuhan beramai-ramai terbaru menggegarkan Turki selepas pertumpahan darah tahun 2016.

Pembunuh itu telah menembak mati seorang anggota polis dan seorang awam di laluan masuk kelab Reina, salah sebuah tempat hiburan malam paling eksklusif di bandar itu, dan kemudian melancarkan amukan tembakan di dalam, menurut para pegawai Turki.

Menteri Dalam Negeri Suleyman Soylu berkata penyerang itu melarikan diri dan kini menjadi sasaran pemburuan besar-besaran, dengan melahirkan harapan suspek itu ‘akan diberkas kelak.”

Soylu berkata dalam ulasan melalui televisyen bahawa 20 orang mangsa telah dikenal pasti setakat ini, 15 adalah warga asing dan lima adalah warga Turki. 69 orang lagi sedang dirawat di hospital.

“Penyerang itu, dengan caranya yang paling kejam dan tidak ada belas kasihan, menyasarkan orang yang tidak bersalah yang hanya datang ke sini untuk meraikan Tahun Baru dan bersuka ria,” gabenor Istanbul Vasip Sahin berkata di tempat kejadian yang terletak di pesisir Bosphorus.

Paramedik membawa individu cedera di tempat kejadian selepas serangan di sebuah kelab malam popular di Istanbul, awal hari ini. Seramai 39 maut dalam serangan itu. – AP
Paramedik membawa individu cedera di tempat kejadian selepas serangan di sebuah kelab malam popular di Istanbul, awal hari ini. Seramai 39 maut dalam serangan itu. – AP

Kebanyakan mereka yang berpesta terjun ke dalam air dalam keadaan panik dan usaha dilancarkan untuk menyelamatkan mereka, menurut televisyen NTV.

Agensi berita Dogan berkata sebelumnya bahawa terdapat dua lelaki bersenjata berpakaian Santa Claus, meskipun ini belum lagi dapat disahkan. Soylu berkata dalam kenyataan terbarunya bahawa nampaknya hanya seorang lelaki bersenjata.

Gambar-gambar yang ditayangkan di televisyen memaparkan orang ramai yang berpesta, termasuklah lelaki-lelaki yang memakai sut dan wanita dengan pelbagai gaya pakaian – muncul dari kelab malam dalam keadaan terkejut.

Sahin berkata serangan bermula pada jam 1:15 pagi hari ini, sejurus selepas beribu-ribu orang yang berpesta meraikan tahun 2017 di kelab itu di daerah Ortakoy di bahagian Eropah di bandar itu.

“Apa yang berlaku hari ini adalah serangan ganas,” ujarnya.

Dogan melaporkan beberapa orang saksi mendakwa penyerang-penyerang itu ‘bertutur dalam bahasa Arab’ manakala NTV mengatakan para pegawai polis pasukan khas masih menjalankan pemeriksaan di kelab itu.

Tidak ada pihak yang mengaku bertanggung jawab.

Serangan itu menimbulkan kembali kenangan pada pembunuhan beramai-ramai November 2015 di Paris apabila para pemberontak IS melancarkan amukan bersenjata dan pengeboman ke atas tempat hiburan malam di bandar Perancis, membunuh 130 orang termasuklah 90 orang di dewan konsert Batacian.

Dari Sydney hingga ke Paris, Rio ke London, kawalan keselamatan ditingkatkan ekoran kebimbangan bahawa perayaan Tahun Baru boleh menjadi sasaran para pelampau ganas. – AFP