Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Progresif, dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), telah berjaya menamatkan pusingan ketiga kempen Gift of Blood, Gift of Life dengan kempen derma darah yang diadakan hari ini.
Inisiatif bermakna ini bertujuan untuk menangani keperluan mendesak negara untuk sama-sama menderma darah sambil memupuk semangat keprihatinan masyarakat.
Acara itu menyaksikan penyertaan daripada 39 orang yang tampil bersama-sama menderma darah. Setiap derma adalah talian hayat, menawarkan sokongan kritikal kepada pesakit yang memerlukan pemindahan darah untuk kecemasan dan rawatan perubatan.
Sebagai penghargaan kepada golongan penderma darah, acara itu turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah dengan hadiah-hadiah menarik, termasuk telefon bimbit dan kad mobile top-up.
Para pemenang cabutan bertuah itu terdiri daripada Awang Muhammad Azri bin Abdul Hamid dengan memperolehi hadiah berupa Vivo Y76 5G (Model V2124); Dayang Surianah binti Haji Serudin, Awang Abdul Rahim bin Haji Adris dan Mira Osman masing-masing menerima hadiah bertuah berupa kad mobile top-up Progresif bernilai $15; dan Matthew Yun Mei Chiang membawa pulang hadiah bertuah berupa kad mobile top-up Progresif bernilai $10.
Tanda kesyukuran ini mencerminkan komitmen Progresif untuk mengiktiraf peranan komuniti dalam menyelamatkan nyawa.
Progresif kekal berdedikasi untuk menyokong inisiatif penjagaan kesihatan Negara Brunei Darussalam dan menggalakkan orang ramai untuk menyertai kempen-kempen pada masa akan datang, kerana setiap derma adalah penting membina komuniti yang lebih sihat dan kuat.