391 jalani pengasingan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Negara Brunei Darussalam tidak ada mencatatkan kes jangkitan baharu COVID-19 setakat pukul 12 tengah hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kekal seramai 145 orang dengan satu kes yang masih aktif.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan harian yang dikeluarkan hari ini turut mengongsikan bahawa seramai 391 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori dengan seramai 5,591 lagi telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.

Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 324 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 55,087 ujian.

Kementerian Kesihatan juga memaklumkan orang ramai yang ingin mendapatkan ujian saringan SARS-COV-2 (ujian swab) terutama mereka yang membuat perjalanan keluar negara hendaklah menjalankan ujian kira-kira tiga hingga lima hari sebelum tarikh penerbangan, tertakluk kepada syarat-syarat negara yang akan dituju.

Hasil ujian itu akan mengambil masa dan orang ramai hendaklah bersabar untuk mendapatkan keputusan ujian mereka.

Orang ramai yang ingin mendapatkan ujian tersebut bagi perjalanan keluar negara boleh mendapatkannya di Pusat Kesihatan dan di Kompleks Sukan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS). Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.