392 PPS ditempatkan di sekolah seluruh Sabah

KOTA KINABALU, 17 FEB – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menempatkan 392 Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) terdiri daripada pegawai dan anggota polis di sekolah rendah dan menengah di Sabah dalam usaha mencegah pembabitan pelajar dalam aktiviti jenayah.

Ketua Jabatan Pengurusan PDRM Kontinjen Sabah, SAC Zabidi Mohd Zain, berkata, kolaborasi antara Kementerian Pendidikan dan PDRM menerusi penugasan PPS itu banyak membantu pihak sekolah membendung aktiviti kekerasan di sekolah.

“Tetapi kebanyakan kes kekerasan dan jenayah berlaku di luar waktu persekolahan iaitu bukan dalam waktu kawalan pihak sekolah.

“Terdapat kes yang berlaku apabila mereka (pelajar) berada di kawasan luar sekolah secara bersendirian sehingga menyebabkan berlakunya kes rogol,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program ‘Jom Ke Sekolah’ peringkat negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan Likas, di sini, hari ini.

Zabidi berkata peranan PPS bukan hanya mengadakan lawatan ke sekolah setiap dua minggu sekali tetapi juga turut menjalankan pemantauan, selain mengadakan ceramah dan dialog khususnya dalam memberi penerangan kegiatan yang melibatkan keganasan pelajar sekolah. – Bernama