395 mangsa banjir ditempatkan di PPS

KOTA KINABALU, 28 JUN – Bencana banjir yang melanda Sabah hari ini, menyaksikan 395 mangsa ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) di beberapa daerah setakat 2 petang tadi.

Dalam kenyataannya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah berkata tiga PPS dibuka di Penampang, menempatkan 54 mangsa daripada enam keluarga, sementara di Kota Belud, dua PPS beroperasi dengan 115 orang daripada 31 keluarga.

“Satu PPS dibuka  di Tuaran, menempatkan 60 mangsa merangkumi tujuh keluarga, manakala di Papar satu PPS dengan 60 mangsa daripada 20 keluarga.

“Di Tenom, tiga PPS dibuka membabitkan 106 mangsa,” demikian menurut kenyataan itu.

Ekoran hujan lebat semalam, sebanyak 10 daerah di negeri ini terjejas oleh banjir iaitu Kota Belud, Tuaran, Putatan, Penampang, Papar, Beaufort, Keningau, Tenom, Kota Marudu dan Pitas. – Bernama