395 sampel telah diuji, tiada kes baharu

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Sebanyak 395 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 dalam tempoh 24 jam lalu yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 34,484 ujian.

Kementerian Kesihatan mengongsikan mengenai pengemaskinian jumlah tersebut melalui Siaran Akhbar Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam hari ini.

Dalam kenyataan itu juga, kementerian memaklumkan tiada kes baharu telah dicatatkan setakat jam 12 tengah hari ini dan menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kekal seramai 141 orang.

Selain itu, seramai 399 orang ketika ini menjalani pengasingan diri mandatori, manakala sejumlah 3,169 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.

Bagi perkembangan terkini dan maklumat lanjut, orang ramai bolehlah melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.